MIRI: Seorang perempuan berusia 20 tahun mengalami kecederaan pada bahagian kaki setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Bakam-Beraya, Batu Satu, di sini hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Niah berkata pihaknya telah menerima laporan tentang kejadian berkenaan sekitar jam 11.38 pagi.
Mereka kemudian segera mengerahkan sepasukan pegawai dan anggota ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati sebuah kenderaan terbabas dan terbalik di dalam parit di sebelah kiri jalan menghala ke Miri dari Bintulu.
“Pihak bomba bertindak melakukan ‘size up’ dan mendapati terdapat empat mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam dan diletakkan di tepi Jalan.
“Namun terdapat seorang mangsa mengalami kecederaan,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Katanya lagi, pasukan bomba kemudian bertindak membuat perawatan awal dengan memasang kolar serviks kepada mangsa yang cedera.
Mangsa seterusnya diserahkan kepada pasukan paramedik.
Pihak bomba juga bertindak memotong kabel bateri untuk memastikan tiada kemungkinan bahaya yang lain.
Seterusnya anggota bomba membuat pemeriksaan bagi memastikan keadaan selamat dan terkawal sebelum menamatkan operasi pada jam 1.35 petang.

