SIBU: Ratusan peserta dari empat buah negara merangkumi Malaysia, Brunei, Indonesia dan Thailand memeriahkan Kejohanan Cabaran Lasak Motocross Sibu Jaya (Sibu Jaya Extreme Motocross Challenge) 2024, baru-baru ini.
Senator Datuk Ahmad Ibrahim berkata, penganjuran edisi kedua kali tampil lebih hebat dengan membabitkan wakil dari empat buah negara berentap.
“Acara ini berjaya membawa semangat persaingan sihat sekali gus memperkukuh hubungan dalam kalangan semua (peserta) dari negara jiran kita iaitu Brunei, Indonesia dan Thailand.
“Kejayaan bukan hanya diiukur melalui kemenangan, tetapi semangat juang yang ditunjukkan,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Sibu Jaya Extreme Motocross Challenge 2024, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada pihak yang terlibat penganjuran sama ada secara langsung atau tidak, dalam memastikan kejohanan berjalan lancar.
“Setinggi penghargaan kepada semua pihak yang bekerja keras khususnya tuan rumah kita dan empunya tanah ini, Amcorp Sibu Jaya Sdn Bhd serta pihak penganjur pertandingan dua tahun berturut-turut, GP Sibu Jaya Extreme Motosports Club.
“Terima kasih juga kepada pihak Majlis Daerah Sibu dan SRDC Sibu yang memberikan sokongan berterusan,” katanya.

