KUCHING: Empat rakan sejenayah masing-masing dijatuhkan hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, kerana melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan samurai dalam sebuah kedai mini serbaneka dua tahun lalu.
Chan Kwang Hui, 51, Hanson Kuek Char Ping, 28, Ewan Mortada, 31, dan Nicky Lim Wei Chi, masing-masing mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Afidah Abdul Rahman.
Mengikut pertuduhan pindaan, kesemua tertuduh didakwa melakukan rompakan bersenjata terhadap seorang lelaki berusia 33 tahun dengan mengambil wang tunai RM2,200, kad pengenalan, lesen memandu, dan kad ATM.
Mereka melakukan kesalahan itu di sebuah kedai mini serbaneka di Jalan Chan Bee di sini, sekitar jam 6.35 pagi, 3 Disember 2023.
Oleh itu, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 397 kanun yang sama.
Ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika disabit kesalahan.
Afidah memerintahkan Hanson, Ewan dan Nicky dipenjara selama enam tahun dengan dua sebatan.
Manakala, Kwang Hui dihukum penjara enam tahun tanpa sebatan memandangkan usianya sudah melebihi 50 tahun.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, semasa pengadu sedang bekerja bersama seorang lagi rakan, mereka didatangi tiga lelaki tidak dikenali yang memakai pelitup muka.
Kemudian, tertuduh ketiga bernama Ewan mengarahkan pengadu jangan melawan, dan sekiranya melawan, mereka akan membunuh atau mencederakan pengadu.
Pengadu, yang duduk berdekatan peti aiskrim, melihat dua lagi perompak membawa samurai, pisau dan parang.
Rakan pengadu ketika tu berada di kaunter kedai.
Barang turut diambil, seperti mesin wang tunai dengan jumlah wang RM1,800, beg sandang pengadu berisi dokumen penting, dan wang tunai RM400.
Setelah mengambil semua barang tersebut, kesemua tertuduh lari menggunakan kereta bernombor QAA8081 yang didaftarkan atas nama Kwang Hui.
Laporan polis dibuat oleh pengadu untuk tindakan dan siasatan lanjut, yang seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh beberapa hari kemudian.
Hasil siasatan mendapati bahawa kesemua tertuduh telah melakukan rompakan berkumpulan menggunakan sebilah pisau, samurai dan parang, iaitu senjata yang boleh menyebabkan kematian atau kecederaan parah.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ng Xiang Hua, manakala Kwang Hui dan Hanson diwakili peguam, Lim Lian Kee.
Ewan dan Nicky pula diwakili dua peguam, Jong Yee Ling dan Russell Lim.



