Empat PPS di Sarawak ditutup

KUCHING: Empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak ditutup, menjadikan hanya lapan masih dibuka setakat jam 12 tengah hari tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), jumlah mangsa banjir di tiga daerah terjejas turut menurun kepada 776 orang daripada 858 orang.

“PPS yang ditutup adalah Balai Raya Kampung Sungai Empit, Dewan Masyarakat Kampung Pangkalan Kuap, Surau Kampung Bukit Berangan dan Balai Raya Kampung Merdang Lumut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, bagaimanapun jumlah mangsa mangsa di Dewan Sinar Budi Baru, Kuching meningkat kepada 300 orang dan Balai Raya Kampung Nangka, Samarahan kepada 20 orang.

“Sementara mangsa di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Sungai Tengah dan Dewan Masyarakat Stapok di Kuching masing-masing menurun kepada 211 dan 66 orang.

“Manakala mangsa di Lundu mangsa kekal dengan 19 orang di Balai Raya Kampung Paon dan 64 orang di SK Paon Temaga.

“49 mangsa ditempatkan di Dewan Suarah Kota Samarahan dan 48 di Dewan Serbaguna Kampung Entingan,” jelasnya.