ARTIKEL

Debbie menyampaikan sijil dan plak MyTQA kepada CEO BCCK, di sini, hari ini | Foto: Ghazali Bujang

Empat produk pelancongan Sarawak terima pengiktirafan MyTQA

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Empat produk pelancongan di Sarawak hari ini menerima pengiktirafan Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA) daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Disampaikan oleh Pengarah MOTAC Sarawak, Debbie Jenggut Nyelang, pengiktirafan itu diberikan kepada Taman Negara Niah dan Pusat Hidupan Liar Semenggoh Wildlife Centre di bawah pengurusan Sarawak Forestry Corporation (SFC) yang masing-masing menerima penarafan ‘Gold’ bagi tempoh 2024 hingga 2027.

Selain itu, Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) turut menerima ‘Gold’ bagi tempoh 2023 hingga 2026, manakala Jong’s Crocodile Farm and Zoo diiktiraf sebagai penerima Silver bagi tempoh 2024–2027.

Pengiktirafan bagi pihak SFC diterima oleh Timbalan Pengurus Besar, Japanie Bujang; BCCK diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Eric van Piggelen dan Jong’s Crocodile Farm and Zoo oleh pengusahanya, Jong Yu Siong.

Menurut Debbie, MyTQA merupakan satu inisiatif penting untuk memperkasa serta mempertingkatkan kualiti perkhidmatan produk pelancongan negara.

“Dengan MyTQA, pelancong akan lebih yakin bahawa perkhidmatan yang mereka terima adalah berkualiti, selamat dan mesra pelanggan,” ujarnya.

Debbie menyampaikan sijil dan plak MyTQA kepada penerima pengiktirafan MyTQA di sini, hari ini | Foto: Ghazali Bujang

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pengusaha produk pelancongan yang terus berusaha mematuhi piawaian ditetapkan oleh kementerian.

“Semoga usaha murni ini memberi manfaat besar kepada industri pelancongan negara dan memperkukuh imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia,” katanya.

Beliau turut berharap agar pengiktirafan itu menjadi pemangkin kepada peningkatan berterusan dalam mutu perkhidmatan, inovasi penyampaian serta semangat daya saing yang sihat dalam kalangan pemain industri pelancongan negeri.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU