KUCHING: Penyediaan infrastruktur kesihatan awam yang berkualiti dan mudah diakses semakin giat dijalankan menerusi empat projek baharu di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi kawasan N12 Kota Sentosa.
ADUN Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin berkata, peruntukan bagi empat projek tersebut telah diluluskan oleh Jabatan Premier Sarawak dan kini menunggu pelaksanaan.
“Keempat-empat projek ini sedang menunggu penyediaan skop kerja, reka bentuk dan senarai kuantiti bahan yang akan digunakan.
“Antara projek yang bakal dilaksanakan termasuk pembinaan makmal perubatan baharu dengan kos bernilai RM500,000 serta projek naik taraf dan pengubahsuaian klinik sedia ada dengan kos RM300,000.
“Kedua-dua projek ini akan dikendalikan di bawah Jabatan Kerja Raya,” ujar beliau ketika hadir melawat Klinik Kesihatan Bahagian Kuching di sini hari ini.
Menjelaskan lanjut, Wilfred berkata dua lagi projek RTP akan dikendalikan di bawah Majlis Perbandaran Padawan (MPP).
“Projek ketiga merupakan projek Fasa 2 bagi pembinaan tambahan tempat letak kereta yang menelan kos sebanyak RM250,000.
“Manakala projek keempat yang bernilai RM50,000 melibatkan pembinaan tambahan tempat letak kereta yang menghadap jalan utama,” jelasnya lagi.
Terdahulu, Wilfred telah melakukan lawatan bagi meninjau projek RTP pembinaan tempat letak kereta di Klinik Kesihatan Bahagian Kuching yang telah siap dan diselia oleh MPP, iaitu pembinaan tempat letak kereta bernilai RM250,000.
Dalam lawatan tersebut, Wilfred dan Pegawai Kesihatan Bahagian Kuching, Dr Johnny Pangkas diberi taklimat mengenai perkembangan kerja-kerja pemasangan pendingin hawa berpusat yang baharu, kerja pendawaian semula elektrik serta pemasangan dua buah pejabat kontena baharu.


