MUKAH: Sebanyak empat projek infrastruktur di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Tellian 2025 telah siap sepenuhnya dengan kos keseluruhan RM650,000.
Projek tersebut memberi manfaat kepada penduduk di kawasan DUN Tellian dan melibatkan kerja menaik taraf titian serta jambatan di Kampung Petanak, Kampung Petanak Hilir, Kampung Petanak Hulu dan Kampung Tellian Laut.

P3-P4: Antara projek menaik taraf titian dan jambatan yang telah siap sepenuhnya.
Sesi penyerahan projek berkenaan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine, semalam.
Menurut Royston, pelaksanaan kesemua projek itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan jaringan perhubungan di kawasan perkampungan sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan.
“Diharapkan kemudahan ini dapat memberi manfaat maksimum kepada penduduk setempat.
“Walau bagaimanapun, tanggungjawab menjaga dan memelihara prasarana ini adalah amanah bersama supaya ia dapat digunakan dalam tempoh lebih lama,” katanya.


Dalam pada itu, Royston menzahirkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas peruntukan RTP yang disalurkan.
Tambahnya, projek tersebut dapat meningkatkan kualiti kemudahan asas serta mengubah landskap pembangunan luar bandar menjadi lebih kondusif.

