ARTIKEL

TUMPAS… Empat suspek dipercayai aktif melakukan kegiatan mencuri motosikal di Kuching berjaya ditahan.

Empat suspek kes curi motosikal tumpas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Empat lelaki dipercayai aktif melakukan kegiatan mencuri motosikal di daerah ini tumpas apabila dicekup polis dalam empat serbuan berasingan di sekitar bandar raya Kuching, Khamis lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Supt Merbin Lisa berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching bersama anggota Balai Polis Gita dan Balai Polis Sentral berhasil menangkap kesemua suspek hasil maklumat risikan.

“Hasil siasatan awal ke atas keempat-empat suspek berusia lingkungan 31 hingga 38 tahun dipercayai terlibat dalam tiga kes curi kenderaan motosikal di kawasan kuching iaitu di Jalan Gertak dan kawasan Metrocity,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Merbin, polis turut merampas dua motosikal beserta kunci; satu tangki minyak motosikal dan satu topi keledar yang pernah dilaporkan hilang di kawasan Kuching.

Katanya, hasil ujian air kencing mendapati tiga daripada suspek positif dadah jenis amp/meth dan turut memiliki lima; lapan dan 11 rekod lampau melibatkan jenayah dadah; jenayah harta benda dan jenayah kekerasan.

“Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih dari tujuh tahun serta boleh dikenakan denda.

“Permohonan reman ke atas keempat-empat suspek telah dipohon di Mahkamah Kuching dan reman diluluskan sehingga 12 mac 2024.

“Soal siasat lanjut akan dijalankan untuk mengenal pasti penglibatan kesemua suspek dalam lain-lain kes jenayah khasnya curi kenderaan,” ujarnya.

Beliau turut menyeru orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dengan menghubungi pusat kawalan IPD Kuching di talian 082-244444 atau menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU