MIRI: Penyertaan empat wanita pada Program Rakan Litar – Moto Cub Track Day 2026 membuktikan keberanian golongan tersebut mencabar diri serta meneroka bidang sukan permotoran di luar zon selesa mereka.
Lebih menarik, ia turut disertai dua pelajar wanita jurusan Penyelenggaraan Jentera Berat Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri yang pertama kali merasai pengalaman menunggang motosikal di litar.

Mereka antara yang mencuri tumpuan dalam program edisi pertama menghimpunkan 76 peserta di Litar Go-Kart Permyjaya, di sini pada, Ahad.
Pengerusi Kelab Sukan Bermotor Desa Indah, Hardy Ahmad berkata, maklum balas peserta juga amat positif apabila mereka dapat merasai sendiri pengalaman baharu menunggang di litar berbanding di jalan raya.

“Program berjalan dengan lancar dan objektif berjaya dicapai. Peserta berpuas hati kerana dapat merasai pengalaman menunggang di litar sebenar dan mendapat pengalaman baharu,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.
Program anjuran bersama Jabatan Belia dan Sukan Bahagian Miri serta Kelab Sukan Bermotor Desa Indah itu turut membabitkan peserta yang mendaftar secara dalam talian, pelajar IKBN Miri serta peserta ADTEC JTM Kampus Miri.


“Para peserta mendapatkan pengalaman menunggang motosikal di litar sebenar dalam persekitaran yang lebih selamat dan terkawal.
“Mereka turut diberi pendedahan mengenai asas undang-undang sukan bermotor, teknikal litar dan aspek keselamatan,” katanya.
Tambah beliau, program berkenaan diharap dapat menyemai kesedaran mengenai kepentingan keselamatan dan disiplin dalam sukan bermotor.
“Malah pelibatan golongan wanita dalam sukan bermotor ini juga membuka ruang untuk mereka meneroka pengalaman baharu di luar bidang pengajian,” katanya.
Program berlangsung dari 10 pagi hingga 4 petang itu terbuka kepada peserta berusia 18 tahun ke atas yang sihat tubuh badan dengan penyertaan adalah percuma.

Program berkenaan dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak (JBS) dengan kerjasama Kelab Sukan Bermotor Desa Indah.
Seterusnya, Program Rakan Litar – Moto Cub Track Day 2026 Siri 2 akan diadakan di Perkarangan Kompleks Belia dan Sukan, Kuching, pada 11 Oktober 2026.



