SELANGOR: Permulaan positif bagi atlet Muay Thai Sarawak dalam mengharungi hari pertama acara tempur jarak dekat di pusat beli-belah KSL Esplanade apabila enam daripada tujuh atlet yang turun beraksi berjaya melepasi pusingan pertama selepas mengatasi lawan masing-masing.
Enam atlet yang berjaya mara ke pusingan kedua ialah Emylia Lynn Ghazali Zulfikar (45kg/Wanita), Muhammad Syarul Fareez Jafar (51kg/Lelaki), Fatiha Hanum Abdul Hasrul (48kg/Wanita), Mohammad Fitri Haqiem Abdullah Mohamad Nasir (57kg/Lelaki), Muhammad Nur Aiman Kamaruddin (60kg/Lelaki) dan Hani Anissa Ismail (57kg/Wanita).

Malvince Chris Eddie Kuwing (67kg/Lelaki) pula tewas kepada lawannya dari Perak.
Presiden Persatuan Muay Thai Negeri Sarawak (PMNS), Haji Jumaat Ibrahim menzahirkan rasa gembira atas kejayaan enam atlet pada perlawanan pusingan pertama petang tadi.
“Ia permulaan positif bagi mereka yang berjaya memenangi perlawanan dalam kategori masing-masing.
“Diharap mereka dapat mengekalkan momentum tersebut untuk perlawanan selepas ini,” ujar Jumaat pada sidang ringkas selepas perlawanan.
Menurut Jumaat, esok lapan atlet Muay Thai akan turut turun ke gelanggang dalam kategori berbeza.
“Kita berharap kesemua mereka dapat mengatasi lawan masing-masing,” tambahnya sambil berharap rakyat Sarawak menitipkan doa bagi perjuangan para atlet terlibat.



