ARTIKEL

OPERASI… Operasi bersepadu kesan enam individu positif dadah dan ketum di Serian semalam.

Enam Individu Ditahan Positif Dadah, Ketum

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SERIAN: Enam individu dikesan positif dadah dan ketum dalam Operasi Bersepadu di Stesen Penimbang Kenderaan JPJ Rayang serta sepanjang Jalan Serian-Sri Aman dan Jalan Kuching-Serian, semalam.

Menurut jurucakap Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Serian, seorang warga Indonesia turut ditahan kerana disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, operasi yang berlangsung dari 8 pagi hingga 12 tengah hari itu membabitkan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Dalam operasi berkenaan, AADK Daerah Serian menjalankan ujian saringan air kencing terhadap 21 individu. Daripada jumlah itu, 18 disahkan negatif, manakala dua individu didapati positif ketum dan seorang lagi positif methamphetamine,” katanya dalam kenyataan.

Tambah jurucakap itu, kesemua mereka yang positif ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 bagi tindakan lanjut.

Pada masa yang sama katanya, JSJN IPD Serian turut menjalankan pemeriksaan terhadap tiga lelaki tempatan dan mendapati kesemua mereka positif dadah jenis amphetamine/methamphetamine (AMP/METH).

“Mereka kemudian ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk membantu siasatan.

“Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak memeriksa seramai 109 individu terdiri daripada warganegara Malaysia, Indonesia dan India,” katanya.

Jurucakap itu berkata, hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Indonesia kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Lelaki terbabit katanya ditahan ketika berada di dalam sebuah lori, manakala pemandu warga tempatan dikeluarkan saman saksi bagi membantu siasatan.

“Dalam perkembangan sama, JPJ memeriksa sebanyak 187 kenderaan sepanjang operasi tersebut dan mengambil tindakan terhadap 36 daripadanya atas pelbagai kesalahan.

“Sebanyak 41 notis dikeluarkan melibatkan kesalahan seperti tiada lesen memandu, lesen kenderaan motor tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, pengubahsuaian ekzos serta kesalahan teknikal lain,” jelasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU