KUCHING: Pembinaan enam lagi jambatan penting yang menghubungkan jalan pesisir di Sarawak dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun hadapan, sekali gus menamatkan perkhidmatan feri yang menjadi penghubung utama.
Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak dalam meningkatkan kesalinghubungan dan memperkukuh kemudahan infrastruktur di seluruh negeri.
Menurutnya, di bawah pimpinan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), sebanyak RM4.97 bilion diperuntukkan bagi pembinaan sejumlah 16 jambatan utama di seluruh negeri.
“Antara jambatan yang dijangka siap pada 2026 ialah Jambatan Batang Paloh, Jambatan Batang Lupar 2, Jambatan Sejingkat, Jambatan Batang Krian, Jambatan Batang Saribas 2 dan Jambatan Batang Rambungan.
“Lima lagi jambatan penting dijangka siap pada tahun ini, melibatkan Jambatan Sungai Lingga, Jambatan Batang Kemena, Sebauh, Jambatan Batang Igan, Jambatan Sungai Limbang dan Jambatan Batang Lupar 1,” katanya.
Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, di sini, hari ini.
Menurut beliau, apabila kesemua jambatan utama ini siap menjelang 2026, ia akan mewujudkan perjalanan yang lebih lancar di seluruh Sarawak, menghubungkan kawasan-kawasan terpinggir dengan lebih efektif.
Mengulas lanjut ujarnya, setakat ini sebanyak lima jambatan siap sepenuhnya dan dibuka kepada orang awam, antaranya Jambatan Marudi, Jambatan Muara Lassa, Jambatan Bintulu Jepak, Jambatan Batang Rajang dan Jambatan Batang Saribas 1.



