ARTIKEL

Bot tunda yang ditahan oleh Maritim Malaysia Zon Maritim Bintulu selepas disyaki melanggar peraturan pelayaran kerana gagal mengibarkan bendera Malaysia ketika berada di perairan Pelabuhan Malaysia, kelmarin.

Enam kru asing ditahan bersama bot tunda di Bintulu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu menahan sebuah bot tunda yang disyaki melanggar peraturan pelayaran selepas gagal mengibarkan bendera Malaysia ketika berada di perairan Pelabuhan Malaysia, kira-kira 2.4 batu nautika di barat laut Kuala Kemena, kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, penahanan itu dilakukan kira-kira jam 10.10 pagi menerusi Op Tiris 4.0 dan Op Permai 01/2019 hasil rondaan penguatkuasaan berterusan di perairan Bintulu.

“Hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana gagal mengibarkan bendera Malaysia ketika berada di perairan Pelabuhan Malaysia antara waktu matahari terbit hingga terbenam sebagaimana ditetapkan oleh undang-undang.

“Selain itu, vesel tersebut turut dikendalikan enam kru terdiri daripada lima warga Indonesia termasuk nakhoda serta seorang warga India.

“Kesemua kru bersama vesel berkenaan telah ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan itu mencerminkan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memastikan pematuhan undang-undang maritim serta memperkukuh keselamatan dan kedaulatan perairan negara.

Katanya, pematuhan terhadap peraturan pelayaran termasuk pengibaran bendera negara bukan sahaja mencerminkan identiti sesebuah vesel, malah merupakan elemen penting dalam aspek keselamatan dan penguatkuasaan maritim.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan pemantauan di perairan Sarawak untuk mengesan sebarang pelanggaran undang-undang maritim selaras dengan peranannya sebagai agensi utama penguatkuasaan di laut.

“Komuniti maritim turut diseru agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan di laut boleh menghubungi talian kecemasan 999, Pusat Operasi Zon Maritim Bintulu di 086-314254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di 082-432544 untuk tindakan lanjut,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU