KUCHING: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM1,000 terhadap enam lelaki selepas masing-masing mengaku bersalah terlibat dalam aktiviti sabung ayam pada Jumaat lalu.
Majistret Ling Hui Chuan turut memerintahkan kesemua tertuduh yang berusia antara 22 hingga 54 tahun itu dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah kawasan lapang di sebuah kampung di Padawan kira-kira jam 1 petang pada 10 April lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 73(1)(g) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, kesemua tertuduh ditahan dalam serbuan Op Dadu yang dijalankan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan hasil maklumat mengenai aktiviti perjudian di lokasi berkenaan.
Polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti tersebut merangkumi seekor ayam hidup, seekor ayam mati, dua bilah taji serta wang tunai berjumlah RM200.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Illin manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.



