Enam Pati, seorang tekong darat ditangkap

SERIAN: Seorang lelaki warga tempatan ditahan ketika cuba menyeludup masuk lima pendatang asing tanpa izin (Pati) menerusi ladang kelapa sawit Jalan Mongkos, di sini, hari ini.
Kenderaan dinaiki mereka dikesan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) yang membuat Op Benteng Covid-19 di kawasan laluan gajah perbatasan Sarawak-Kalimantan itu sekitar jam 7.50 pagi.
Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis yang mengesahkan kejadian berkata, jarak lokasi tangkapan terbabit lebih kurang 8 kilometer dari jalan tikus sempadan kedua-dua negara.
Ketika kejadian katanya, tiba-tiba datang seorang lelaki warga Indonesia dengan menunggang sebuah motosikal jenis RS150R mengaku dirinya sebagai ketua kepada kesemua Pati di dalam kenderaan Ford Hurricane tersebut.
Walaubagaimanapun jelasnya, lelaki berkenaan turut diarahkan oleh pasukan operasi untuk diperiksa bersama-sama kesemua tangkapan awal yang dilakukan.
“Keenam-enam warga Indonesia itu didapati mempunyai passport yang disyaki tamat tempoh.
“Hasil siasatan lanjut mendapati kesemua suspek yang berusia lingkungan 21 hingga 46 itu mengaku berasal dari Pontianak dan Singkawang, Indonesia dan dipercayai masuk ke Sarawak untuk mencari pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tegas beliau, kesemua Pati itu kini ditahan dan disiasat Di bawah Akta Imigresen 1959.
Sementara itu katanya, suspek warga tempatan berusia 29 tahun disyaki menjadi tekong kepada penyeludupan tersebut kini ditahan reman Di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) SOSMA 2012 dan disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Aswandy menambah, kedua-dua kenderaan iaitu 4×4 jenis Ford Hurricane dan motosikal jenis Honda RS150R turut dirampas untuk tindakan siasatan lanjut.
Ujarnya, polis akan terus membuat pemantauan serta tindakan tegas terhadap tekong-tekong darat yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran di negeri ini.