KUCHING: Dua projek di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) di kawasan DUN Balingian iaitu Projek Cadangan Jalan SK Sungai Liuk/Kuala Balingian (Fasa 3) bernilai RM45 juta dan Taman Botanikal Balingian dijangka menyelesaikan proses tender pada tahun ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, pembinaan bagi kedua-dua projek itu dijangka bermula pada suku pertama 2027 dan dijangka siap pada suku pertama 2029.
“Empat lagi projek pula akan ditender pada suku pertama 2027 dan pembinaannya dijangka bermula pada suku kedua tahun yang sama.
“Tempoh pelaksanaan keseluruhan projek dijangka mengambil masa antara 18 hingga 30 bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi berkaitan status pelaksanaan projek RADDA di kawasan Balingian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak enam projek pembangunan bernilai RM102.5 juta akan dilaksanakan bagi merancakkan pembangunan dan kemudahan rakyat di kawasan itu.
Sehubungan itu, beliau berkata RADDA akan memastikan semua projek dapat dilaksanakan mengikut jadual yang dirancang menerusi pemantauan berkala bersama dengan agensi terlibat.



