Aku terjaga agak lewat.
Lampu terpasang cerah.
Terasa bahuku berat sekali.
Seluruh mukaku terasa kebas.
Malam tadi aku dan Afiq melakukan shoulder dan chest yang agak berat menggunakan bubble.
Aku cuba bangun untuk solat subuh tapi tak terdaya.
Aku perhati sekelilingku, langsir biru ini begitu asing buatku.
Aku di mana?
Kenapa?
Aku bermonolog sendiri.
Tiba-tiba seorang misi melintasi tempat pembaringan.
“Misi, saya di mana?” tanyaku pada misi.
“Awak di hospital.
Awak kemalangan jalan raya malam tadi,” kata misi.
Kemalangan? Kupandang tangan kiriku berbalut.
Sungguh aku tak ingat apa-apa.
Malam tadi seingat aku, aku berpisah di lampu isyarat.
Afiq belok kiri untuk balik ke rumahnya, aku meneruskan perjalanan.
Tidak jauh saja dari rumahku.
Tidak lama kemudian, masuk seorang lelaki berbaju biru.
Mama mengiringi lelaki itu hingga ke katilku.
Kelihatan muka mama basah.
Mama terus menggenggam tanganku.
“Abang kuat ye, mama ada,” kata mama.
Katilku ditolak masuk wad. Tidak lama kemudian papa datang.
“Ma, apa yang berlaku? Abang tak ingat apa-apa,” tanyaku pada mama.
“Abang rehatlah, abang perlu rehat,” kata mama.
Tangannya menggosok-gosok tubuhku.
Aku tidak terdaya membuka mata.
Hanya telingaku mendengar perbualan antara mama dan papa.
Sayup-sayup saja kedengaran, terkadang ada suara lain, tapi aku tidak dapat menangkap butir bicaranya.
Aku semakin mamai.
“Ma abang nak sharing sesuatu dengan mama,” kataku ketika mama bersiap di hadapan cermin.
“Ehmm… ceritalah,” kata mama.
Mama mengalih pandangannya padaku.
Rasa sedih menyelubungiku.
“Nik sudah ada yang lain ma,” kataku.
“Tak apalah, ada baiknya abang tahu sekarang.
Makin lama masa abang bersamanya semakin sakit apabila ditinggalkan,” jawab mama.
Perlahan saja, tapi menusuk hingga ke jiwa.



