KUCHING: Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula pada November tahun ini dan berakhir pada Mac 2024, dengan empat hingga enam episod hujan lebat yang signifikan dijangka berlaku dan boleh mengakibatkan banjir.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata di Kelantan, Terengganu dan Pahang, episod hujan lebat berlaku
antara November hingga Disember 2023.
Manakala, beliau berkata mulai Disember 2023 hingga Januari 2024, episod hujan lebat dijangka lebih tertumpu di Johor, Sabah dan Sarawak.
“Selain itu, hujan berterusan juga boleh berlaku di negeri-negeri pantai barat sekiranya luruan monsun kuat dan/atau kewujudan sistem tekanan rendah di
rantau negara.
“Kebanyakan tempat dijangka mengalami jumlah hujan bulanan pada paras purata pada MTL 2023/2024 kecuali di beberapa kawasan di Sabah dan utara Semenanjung serta kawasan pedalaman yang turut dijangkakan menerima hujan sedikit bawah purata pada penghujung MTL,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena Forum Iklim Kebangsaan 2023 bertemakan ‘Waspada El Nino Hadapi Monsun Timur Laut’ anjuran MET Malaysia yang diadakan secara maya, hari ini.
Sementara, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad dalam ucapan perasmiannya berkata El Nino yang sedang melanda dunia dijangka meningkat intensitinya bermula penghujung tahun ini sehingga awal tahun hadapan.
Katanya ditambah dengan faktor pemanasan global yang sedang dihadapi dunia sejak akhir-akhir ini, kesan fenomena El Nino dijangka akan menjadi lebih ekstrem berbanding episod-episod terdahulu dengan peningkatan suhu serta pengurangan jumlah taburan hujan di seluruh negara.
“Oleh itu, kerjasama daripada semua pihak amat penting bagi menghadapi fenomena El Nino yang sedang berlaku dan mengurangkan kesannya,” katanya.
Selain itu, beliau turut menyeru agar agensi yang terlibat dalam pengurusan kebakaran hutan dan tanah gambut memanfaatkan sebaik mungkin sistem Fire Danger Rating System (FDRS) yang telah dibangunkan oleh MET Malaysia.
FDRS merupakan sistem ramalan awal bagi memantau kemungkinan berlakunya kebakaran hutan dan tanah gambut, yang kini telah ditambah baik dengan keupayaan untuk menyediakan maklumat ramalan sehingga tujuh hari ke hadapan berserta capaian kepada Web Map Service (WMS) yang membolehkan sistem itu bersifat interaktif dan mesra pengguna.
“Dengan adanya FDRS, sebarang bencana yang berkaitan dapat dikenal pasti dan dikawal lebih awal daripada menjadi lebih teruk,” katanya.


