TAHNIAH Kuching City FC (KCFC), kelab bola sepak Bumi Kenyalang yang mengangkat semula martabat bola sepak Sarawak, setelah merudum sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak ini menamatkan saingan Liga Super 2024/25 Ahad lalu dengan menduduki tangga keempat, satu pencapaian yang membanggakan.
Malah hampir pasti menduduki tangga ketiga, cuma dipisahkan satu mata, dengan pasukan jiran, Sabah FC.
Ia bermakna, KCFC kini berada dalam kelompok elit, empat pasukan terbaik negara, selepas Johor Darul Ta’azim (JDT), Selangor dan Sabah.
Baru musim kedua bersaing dalam Liga Super, KCFC pantas mengukir nama, sebagai antara pasukan dikagumi sepanjang musim 2024/25.
Tiada siapa yang menyangka kelab yang ditubuhkan pada 2015 ini, mampu melangkah sejauh ini, setelah melakar 10 kemenangan, sembilan kali seri, dan hanya lima kali kalah di pentas saingan kompetitif (Liga Super). Aidil mengakui berpuas hati dengan pencapaian anak-anak buahnya sepanjang musim ini.
“Terima kasih kepada pemain, pengurusan dan penyokong yang sentiasa bersama pasukan Kuching City. “Pada awal musim kita ada turun naik kerana kecederaan dan sebagainya, tapi kita bangkit selepas jendela perpindahan kedua,” katanya.
Menurut beliau, The Cats akan mengekalkan 90 peratus pemain sedia ada dengan sedikit perubahan untuk menghadapi musim baharu.
Yang pasti, Pengerusi KCFC, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman berjaya mentransformasikan pasukan, daripada berwajah lokal, kini berwajah profesional, dengan kemasukan import asing dan tempatan bagi mengimbangi kekuatan di segenap posisi.
Malah jurulatih juga bertukar, daripada orang Sarawak, kepada orang Semenanjung (Irfan Bakti Abu Salim) dan kemudiannya orang Singapura (Aidil Sharin Sahak).
Percaturan Fazzrudin dan pengurusan KCFC membuahkan hasil, apabila Aidil memberikan impak segera, baru musim kedua bersama KCFC, setelah masuk pada penghujung musim pertama.
Jurulatih kelahiran Kota Singa yang pernah membimbing Kedah dan menjadi buruan kelab Indonesia itu dikatakan bijak dalam aspek taktik, teknik, serta pemilihan pemain.
Ia membolehkan KCFC sukar untuk dikalahkan, malah hanya tewas tipis kepada JDT, 2-1 (di Johor) dan 2-0 di Kuching. Aidil turut berupaya membentuk corak permainan menarik, dengan lebih banyak menguasai bola, serta serangan dari segenap penjuru, tanpa mengira status lawan, walaupun ketika menentang JDT.
Malah ia diakui pengendali JDT, Hector Bidoglio; “Tidak mudah untuk menentang Kuching City… apatah beraksi di tempat mereka,” ujar Bidoglio sebelum aksi Kuching City-JDT di Stadium Negeri pada 16 April lalu. JDT menang 2-0, namum diberi tentangan sengit sepanjang 90 minit.
Malah KCFC turut mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol.
Gandingan pemain tempatan, import lokal dan asing menghasilkan adunan padu.
Kehadiran pemain pinjaman daripada JDT, Muhammad Ramdhani serta Muhammad Daniel Amier, serta import, Jordan Mintah, Tchetche Kipre, James Okwuosa, Yuki Tanigawa serta Petrus Shitembi memberi kekuatan tambahan bersama-sama tonggak tempatan, Jimmy Raymond, Nur Shamie Iszuan dan Muhamad Ali Hassan.
Jurulatih penjaga gol, Khairul Azman Mohamed, turut banyak membantu memperkemas benteng terakhir.
Pengalaman dan kepakaran bekas penjaga gol Malaysia, Pahang dan Sabah itu terbukti, dengan ketangkasan Wan Muhammad Azraie Wah Teh dan Mohd Shahril Sa’ari.
Malah pemain KCFC turut diiktiraf, apabila pernah menyarung jersi Harimau Malaya, Jimmy Raymond dan Nur Shamie Iszuan. Realitinya, KCFC kini berada dalam era baharu, yakni, perlu melangkah setapak lagi bagi mengukuhkan reputasinya sebagai antara kelab yang berjaya di Malaysia.
Dalam saingan musim baharu 2025/26, KCFC sudah boleh merancang untuk memburu kejayaan yang lebih besar, sekurang-kurangnya merangkul satu trofi.
Walaupun ia kelihatan sangat sukar untuk dicapai, selagi kekuatan JDT belum reda, namun hakikatnya, KCFC harus mencuba dan berusaha.
Sekurang-kurangnya, KCFC tampil sebagai tiga pasukan terbaik negara untuk musim baharu nanti. Yang pasti, KCFC perlu mengambil muka baharu, terutama penyerang yang mempunyai naluri ‘mesin jaringan’.
Ia kerana dalam sembilan perlawanan yang seri sepanjang musim 2024/25, KCFC sepatutnya boleh menang tiga atau empat perlawanan. Ia kelihatan berpunca daripada sentuhan penyudah yang agak tumpul.
KCFC juga perlu membentuk pasukan Piala Presiden yang lebih kuat bagi meneruskan kesinambungan pemain untuk pasukan senior suatu hari nanti.
Kerjasama erat dengan Persatuan Bola Sepak Bahagian Miri (PBBM) merupakan satu langkah bijak, serta mengubah angin perlawanan, dari selatan ke utara negeri.
Di samping itu, KCFC juga perlu merancakkan lagi program pembangunan akar umbi di negeri ini mahupun kejohanan tempatan.
Liga Kuching yang sudah agak lama lenyap, perlu dihidupkan semula dengan nafas baharu, sebagai salah satu alternatif untuk melahirkan bakatbakat baharu, selain pendedahan pemain lokal.
Pembangunan peringkat awal (akademi) harus disemarakkan lagi dari semasa ke semasa, seiring dengan kursus-kursus kejurulatihan untuk melahirkan jurulatih berilmu.
Kerjasama erat dengan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dalam pelbagai program pembangunan turut dialu-alukan, kerana pemain yang dihasilkan nanti, akan mengibar bendera Sarawak.
Hakikatnya, hasil usaha KCFC selama ini sudah menampakkan hasil, daripada liga amatur, kini megah dalam kelompok atasan liga elit.
Adakah ada lagi kelab dari Bumi Kenyalang yang berani tampil seperti KCFC selepas ini?
Suatu ketika dahulu Sarawak mempunyai dua kelab lokal yang cukup popular, Perumahan dan Ibraco FC, terutama pada era 90-an.
Mereka adalah kelab ternama yang menguasai saingan Liga Kuching atau lebih dikenali sebagai Liga-K.
Kedua-dua kelab ini sangat digeruni di Sarawak dan turut disegani dalam saingan peringkat nasional, walaupun bukan kelab profesional. Realitinya, KCFC adalah perintis kejayaan kelab di negeri ini.



