SEBAHAGIAN besar daripada 59 juta penduduk Itali meratapi kegagalan pasukan bola sepak kebangsaan mereka, setelah kempunan tiket pusingan akhir Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico pada 12 Jun hingga 20 Julai depan.
Ia merupakan kali ketiga skuad Azzurri tercicir daripada pesta bola terbesar dunia, selepas pada 2018 di Rusia dan 2022 di Qatar.
Itali yang dibimbing oleh pemenang Piala Dunia 2006 Gennaro Gattuso tewas 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti kepada pasukan kurang ternama Bosnia-Herzegovina pada aksi play-off awal pagi semalam (waktu Malaysia).
Kedua-duanya terikat 1-1 sepanjang 120 minit.
Itali (ranking ke-18 dunia) bermula dengan langkah kanan apabila mendahului seawal minit ke-15 menerusi Moise Kean, namun segalanya berubah apabila Alessandro Bastoni dilayangkan kad merah pada minit ke-41.
Bosnia yang berada di ranking ke-71 dunia mengeksploitasinya dengan gol penyamaan 11 minit sebelum tamat, melalui Haris Tabakovic.
Tuah tidak menyebelahi Itali, apabila tewas dalam penentuan tendangan penalti.
“Bagaimana boleh gagal lagi… ini bermakna kami terpaksa menunggu 12 tahun, itu pun jika Itali layak Piala Dunia 2030,” kata salah seorang peminat di Kota Milan.
Ada peminat dari Malaysia menyatakan; “mungkin Itali memerlukan pemain warisan untuk layak ke Piala Dunia 2030”.
Itali gagal layak pada 2018 ketika dibimbing oleh Gian Piero Ventura dan Roberto Mancini pada 2022.
Ketika itu, mereka tewas kepada Sweden dan Macedonia Utara dalam saingan play-off.
Sebagai pasukan nama besar, yang pernah juara empat kali, 1934, 1938, 1982 dan 2006, Itali sepatutnya beraksi dalam Kumpulan B bersama Croatia, Qatar dan Switzerland pada pusingan akhir.
Tetapi ia tidak berlaku, malah Itali melakar sejarah hebat dalam konteks negatif, sebagai bekas juara yang gagal tiga kali berturut- turut.
Dalam kalangan 48 pasukan yang akan berkumpul di tiga negara, adalah ganjil tanpa Itali, yang mempunyai ramai peminat di serata dunia.
Mereka terkenal dengan formasi bertahan, hanya menyerang ketika perlu, di samping mempunyai pemain dan ‘bintang tersorok’ yang akan muncul ketika keadaan mendesak.
Misalnya, Paolo Rossi yang membantu Itali menjulang trofi pada 1982 di Sepanyol.
Ketika itu juga Rossi muncul sebagai penjaring terbanyak (6 gol).
Rossi bukanlah pemain utama, setelah digantung dua tahun akibat skandal pertaruhan.
Beliau hanya kembali sejurus sebelum Piala Dunia 1982, dalam keadaan kurang cergas, namun peluang diberikan menjadi wira pasukan, yang mengalahkan Jerman Barat pada aksi final.
Itali juga melahirkan Salvatore Schillaci yang mengemudi Itali ke separuh akhir Piala Dunia 1990.
Beliau dilihat sebagai ‘bintang mengejut’ yang bermula dari bangku pemain simpanan… tiba-tiba sahaja meletup sebagai penjaring terbanyak Piala Dunia 1990.
Schillaci hanyalah pemain pilihan keenam, namun menjadi simbol ‘malam magis Azzurri’, daripada pemain kurang ternama menjadi wira negara hanya dalam masa sebulan.
Namun ketika menjulang Piala Dunia 2006, Itali dibarisi nama-nama besar seperti Fabio Cannavaro, Andrea Pirlo, Gianluigi Buffon, Gennaro Gattuso, Francesco Totti, Alessandro Del Piero serta Filippo Inzaghi.
Mereka mengalahkan Perancis dalam perlawanan final. Itulah Itali yang dirindui dalam tiga Piala Dunia.
Ketika bola sepak Itali dalam era kegelapan, negara kerdil, Curacao pula bersinar, mencuri tumpuan apabila menempa tiket ke Piala Dunia 2026 buat pertama kalinya.
Dengan hanya sekitar 156,000 penduduk, pasti ramai yang tertanya-tanya bagaimana negara kepulauan kecil itu boleh layak, siapakah pemain ternama mereka?
Yang pasti, ia terletak pada status politik negara tersebut, sebagai sebahagian daripada kerabat diraja Belanda.
Hubungan sejarah kolonial dimanfaatkan sepenuhnya, sebagai aset penting untuk bola sepak.
Mereka membariskan anak-anak diaspora yang lahir dan membesar di benua Eropah.
Malah sebahagian besar pemain mereka adalah bekas pelatih akademi elit Belanda seperti Ajax Amsterdam dan PSV Eindhoven.
Pemain ini menjalani latihan intensif sejak kecil, tanpa Kerajaan Curacao mengeluarkan sesen pun.
Misalnya, Tahith Chong serta adik-beradik Bacuna iaitu Leandro dan Juninho.
Curacao dibimbing oleh bekas jurulatih Belanda Dick Advocaat, yang sudah pun berusia 78 tahun.
Dengan adanya pemain kelas dunia dari Belanda, dengan adunan taktik Advocaat, Curacao terbentuk sebagai sebuah pasukan yang sangat berdisiplin, licik dan sukar diroboh pasukan lawan.
Mereka juga memanfaatkan sepenuhnya teknologi kejurulatihan serta pendedahan antarabangsa, yang membolehkan negara kecil bersaing dengan pasukan besar.
Malah pihak pengurusan juga begitu komited mencari bakat terbaik di seluruh pelosok dunia yang mempunyai pertalian darah dengan orang tempatan.
Ditambah pula dengan sistem pangkalan data pemain warisan yang dibangunkan oleh Kerajaan Curacao sangat efisien bagi memastikan tiada bakat yang tercicir.
Curacao (ranking 82 dunia) diundi dalam Kumpulan E bersama juara empat kali, Jerman, Ivory Coast dan Ecuador.
Adakah Curacao akan melakukan kejutan lagi, dengan menumbangkan Jerman atau layak ke fasa kalah mati.
Bagaimana pula dengan Malaysia yang mempunyai lebih 36 juta penduduk?
Malaysia belum pernah layak ke Piala Dunia walaupun pernah menyasarkan untuk layak pada 2018.
Malaysia turut tersingkir daripada Piala Asia 2027, setelah dipotong enam mata oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) susulan menurunkan pemain warisan yang tidak layak dalam dua perlawanan, sekali gus melanggar Artikel 56 Kod Tatatertib dan Etika AFC.
Mungkin Malaysia boleh belajar daripada Curacao, bagaimana untuk menambat pemain warisan yang sah.



