Setiap kali Aidilfitri tiba, lagu raya baharu pasti menjadi topik perbualan dalam kalangan peminat muzik. Ada yang menyukainya, tidak kurang juga yang pantas memberi kritikan.
Penyanyi bersuara lunak, Ernie Zakri, berkongsi pandangannya mengenai sikap segelintir pihak yang gemar mengkritik lagu raya baharu setiap kali menjelang Aidilfitri.

Menurut Ernie, perbezaan reaksi terhadap lagu raya ialah perkara biasa kerana setiap individu mempunyai cita rasa muzik yang berbeza.
Menerusi satu hantaran di Threads, Ernie berkata pendengar bebas memilih lagu yang sesuai dengan cita rasa masing-masing tanpa perlu mempertikaikan karya orang lain.
“Lagu raya mana-mana pun okey, yang sesuai dengan cita rasa, nikmatilah sahaja. Yang tidak sesuai, kita cari lagu lain,” tulisnya.
Beliau juga berkata muzik tidak seharusnya dinilai secara terlalu sempit kerana hal itu boleh mengehadkan kreativiti pengkarya.
“Muzik ini terlalu universal.
Kalau kita hendak tentukan sesuatu itu betul atau salah, takut nanti hal itu menjadi batas kepada pengkarya,” ujarnya.
Dalam perkongsian yang sama, penyanyi itu turut memberi contoh lagu raya Setahun Sekali nyanyian Amy Mastura yang menurutnya pernah dianggap agak moden ketika mula diperkenalkan, namun tetap diterima masyarakat.
Beliau turut mengingatkan perbezaan selera ialah perkara biasa, sama seperti pilihan pakaian ketika menyambut Aidilfitri.
“Baju raya kita pun cita rasa berbezabeza, apatah lagi muzik. Nikmatilah sahaja… raya ini kita bergembira,” kongsinya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan hantaran tersebut tidak ditujukan kepada mana-mana pihak.
Terdahulu, Ernie bersama-sama suaminya yang juga penyanyi, Syamil, tampil dengan lagu raya berjudul Suasana Raya yang memeriahkan sambutan Aidilfitri tahun ini dan mula mendapat perhatian pendengar.
Perkongsian itu menarik perhatian pengikutnya di media sosial yang memberikan pelbagai reaksi terhadap pandangan tersebut.



