Kejayaan Marissa Aesthetic hari ini terselit usaha gigih seorang wanita luar biasa yang mencurahkan lebih dua dekad hidupnya dalam bidang perubatan estetik iaitu Dr. Rushmini Maris Ismail.
Di bawah jenama Marissa Aesthetic, beliau berjaya mengubah persepsi masyarakat terhadap kecantikan bukan sekadar penampilan luar, tetapi bermula daripada kesihatan dalaman yang holistik.
Sejak ditubuhkan pada 2006 di Semenyih, Marissa Aesthetic berkembang daripada sebuah klinik kecil kepada empayar kecantikan yang memiliki lebih 12 cawangan di seluruh Malaysia.


Namun, kejayaan ini bukan datang sekelip mata. Ia hasil kepercayaan, inovasi, dan semangat untuk membantu wanita tampil yakin dan sihat.
“Saya percaya kecantikan bukan hanya tentang wajah yang sempurna, tetapi keseimbangan hormon, kesihatan mental dan fi zikal serta gaya hidup yang sihat.
Inilah misi utama saya sejak hari pertama Marissa ditubuhkan,” ujar Dr. Rushmini kepada Suara Sarawak.
Berbeza dengan klinik kecantikan konvensional, Marissa Aesthetic menggabungkan elemen perubatan moden dan pendekatan menyeluruh dalam setiap rawatannya.
Ia bukan sekadar tempat untuk mencantikkan wajah atau menurunkan berat badan, tetapi pusat kesedaran kesihatan yang menjadikan pelanggan sebagai keutamaan.

Dengan moto “Cantik, Ceria dan Cergas”, setiap rawatan yang ditawarkan di Marissa dirangka untuk bukan sahaja memperbaiki penampilan, malah mempertingkatkan kualiti hidup.
“Ramai wanita mengalami tekanan kerana perubahan fi zikal akibat usia, hormon yang tidak seimbang, atau gaya hidup yang sibuk.
“Di sinilah kami hadir memberikan penyelesaian, bukan hanya dari segi rawatan luaran, tetapi juga bimbingan dan sokongan dalaman,” jelas beliau.
Salah satu inovasi terbesar yang diperkenalkan oleh Marissa Aesthetic adalah rawatan titik saraf, satu rawatan unik yang membantu lebih 200,000 pesakit melegakan kesakitan kronik tanpa perlu bergantung pada ubat atau menjalani pembedahan.
Rawatan ini menggunakan konsep sekatan saraf atau portal kesakitan, mengaplikasikan teori bahawa saraf dalam badan manusia berfungsi seperti litar elektrik.

Jika terlalu aktif, ia boleh menyebabkan kesakitan berterusan seperti litar pintas yang tidak ditutup.
“Melalui rawatan ini, kami ‘mematikan’ suis saraf yang terlalu aktif itu.
Hasilnya, pesakit kembali bebas bergerak tanpa kesakitan. Ia adalah revolusi dalam dunia perubatan konservatif,” kata Dr. Rushmini yang turut menjelaskan bahawa rawatan ini sangat berkesan untuk migrain, sakit bahu, tumit, dan lain-lain.
Rawatan ini menerima sambutan luar biasa di Semenanjung Malaysia dan kini diperkenalkan di Kuching sebagai usaha memperluas manfaat kepada lebih ramai rakyat Malaysia.
“Saya ke Kuching sebulan sekali khas untuk rawatan ini.
Ia mendapat permintaan tinggi, dan saya mahu semua orang, tak kira di mana-mana mereka berada, mendapat akses kepada teknologi rawatan ini,” tambah beliau.
Marissa Aesthetic juga dikenali dengan standard perkhidmatan yang tinggi, hasil pendekatan Dr. Rushmini yang mementingkan pendidikan berterusan.
Beliau memastikan setiap perunding kecantikan di cawangan Marissa diberi latihan secara mingguan.
“Dunia estetik sentiasa berkembang.
Maka, perunding saya juga perlu berkembang. Setiap minggu, kami adakan sesi latihan, berkongsi pengalaman, dan membincangkan teknik rawatan baharu.
“Ini penting untuk kekal relevan dan memberikan yang terbaik kepada pelanggan,” tegas beliau.
Menurutnya lagi, antara nilai terpenting di Marissa adalah keikhlasan dalam berkongsi ilmu, kerana hanya dengan pemahaman yang mendalam, rawatan dapat dijalankan dengan penuh tanggungjawab.
Sebagai seorang yang percaya bahawa kecantikan bermula dari dalam, Dr. Rushmini turut berkongsi pelbagai tip kesihatan dan gaya hidup kepada pelanggan.
Baginya, kulit yang cantik bukan sekadar hasil produk, tetapi refl eksi kesihatan dalaman seseorang.
“Kulit yang bersinar lahir dari badan yang sihat. Senaman adalah kunci utama kerana ia membantu tubuh menyahtoksik.
“Di samping itu, pemakanan seimbang yang kaya dengan serat dan vitamin membantu mengekalkan darah yang bersih serta kulit yang awet muda,” kongsinya.
Beliau turut mengingatkan para wanita bahawa tiada jalan pintas untuk cantik.
“Ia memerlukan disiplin, ilmu dan kesedaran untuk menjaga diri secara konsisten,” katanya.
Dr. Rushmini juga sedang giat memperkenalkan lebih banyak rawatan yang tidak melibatkan pembedahan dalam usaha memperkasakan pendekatan perubatan konservatif.
“Semua rawatan kami bebas daripada pembedahan, rawatan mengembalikan bentuk wajah hinggalah kepada rawatan pelangsingan.
“Matlamat saya adalah untuk menjadikan rawatan estetik lebih selamat, boleh diakses dan berasaskan kesihatan sebenar, bukan sekadar kosmetik,” ujar beliau mengakhiri perbualan.



