KUCHING: Keceriaan berganda buat pemain pasukan yang terlibat dalam Karnival Bola Sepak Remaja Jemputan Bawah 12, 14 dan 16 Tahun 2026 yang akan berlangsung di Padang Bola Sepak Kampung Sindang, Kota Samarahan pada Sabtu dan Ahad ini.
Akademi Bola Sepak Remaja Samarahan dan Kelab Bola Sepak Mo2uang Legasi (M2L) selaku penganjur menerima tajaan berupa bola, jersi dan sijil anugerah daripada ETFDP Sarawak.
Majlis ringkas penyerahan tajaan tersebut berlangsung sebentar tadi dan disempurnakan Pengarah Urusan ETFDP Sarawak, Zanawi Zen.
Majlis turut dihadiri Abdul Muhtalip Tegak yang mewakili jawatankuasa penganjur.
“Pihak kami ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada ETFDP Sarawak atas sokongan diberikan menerusi tajaan tersebut.
“Ia memberi makna cukup besar kepada kami dan saya percaya sokongan daripada tajaan tersebut mampu mencetuskan keterujaan kepada semua pemain terlibat,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut Zanawi, tajaan tersebut merupakan tanda sokongan dalam usaha bersama memperkasakan pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi.
“Kerjasama ini bukan sekadar penganjuran kejohanan, tetapi merupakan satu usaha bersama dalam membuka lebih banyak peluang kepada bakat muda untuk terus mengembangkan bakat mereka,” jelasnya.
Katanya, ETFDP Sarawak sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada semua pihak termasuk kelab, akademi, komuniti dan pencinta bola sepak untuk bersama-sama memperkasa pembangunan bola sepak remaja demi masa depan bola sepak Sarawak yang lebih cerah, berkualiti dan berdaya saing.



