ARTIKEL

Euodia Then Suling, anak perempuan mendiang SN Debra Moset. FOTO (RAMIDI SUBARI)

Euodia mahu menjadi doktor, terinspirasi oleh ibunya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PADAWAN: Euodia Then Suling pernah membayangkan suatu hari nanti dia akan memakai kot putih sebagai seorang doktor dan bekerja bersama ibunya.

Namun, impian yang pernah mereka rancang bersama itu kini tinggal kenangan selepas ibunya, jururawat SN Debra Moset, terkorban dalam nahas helikopter perkhidmatan Doktor Udara (FDS) berhampiran Long Lellang STOLport, Ulu Baram pada Selasa lalu (8 September).

Eugene Then Kuling, anak lelaki mendiang SN Debra Moset. FOTO (RAMIDI SUBARI)

Bagi remaja berusia 15 tahun itu, cita-cita menjadi doktor bukan sekadar pilihan kerjaya, tetapi lahir daripada kekagumannya terhadap ibunya yang banyak membantu orang lain.

“Saya mahu jadi macam dia. Saya mahu bantu orang ramai.

“Kami pernah rancang untuk bekerjasama dan sama-sama bekerja di tempat yang sama,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Semadang, selepas jenazah ibunya tiba di kediaman berkenaan di sini, hari ini.

Euodia berkata, pada awalnya dia bercita-cita untuk menjadi cef kerana minatnya terhadap masakan.

Namun, katanya, cita-cita itu berubah selepas melihat sendiri kehidupan dan pekerjaan ibunya yang menjadi sumber inspirasinya.

“Melihat mak banyak membantu orang, timbul keinginan untuk jadi macam dia dan membantu orang ramai.

“Sebab itu, satu hari nanti saya mahu jadi doktor,” katanya.

Menurut Euodia, walaupun ibunya pernah memberitahu bahawa seorang doktor berdepan tekanan dalam menjalankan tugas, dia tetap mahu mengejar cita-cita tersebut.

Katanya, minat terhadap bidang sains turut mendorongnya memilih laluan berkenaan, malah ibunya membantu memohon kemasukannya ke sekolah beraliran sains.

“Dia selalu pesan supaya saya belajar rajin-rajin dan capai cita-cita saya,” katanya.

Mengimbas peribadi ibunya, Euodia menyifatkan Debra sebagai seorang yang tegas dan sangat mementingkan kebersihan.

Katanya, di sebalik sifat tegas itu, Debra tidak terlalu tegas terhadap anak-anak dan merupakan seorang ibu yang penyayang.

“Mak seorang yang tegas dan sangat mementingkan kebersihan. Dia juga suka memasak.

“Namun, dengan anak-anak dia tidak terlalu tegas. Pada saya, dia seorang ibu yang sangat penyayang,” ujarnya.

Minat Debra terhadap masakan turut meninggalkan satu kenangan yang sukar dilupakan oleh Euodia.

Pada 3 September lalu, ketika ibunya pulang, Euodia sempat meminta ayam kicap, antara masakan kegemarannya yang menurutnya dimasak paling sedap oleh Debra.

“Saya beritahu dia, ‘Mami, kakak nak makan ayam kicap’.

“Lepas itu, dia terus buat untuk saya. Itu memori yang paling tidak boleh dilupakan,” katanya.

Pertemuan pada hari itu juga merupakan pertemuan bersemuka terakhir Euodia dengan ibunya sebelum Debra kembali bertugas.

Euodia juga menghantar mesej kepada ibunya untuk bertanya sama ada Debra akan pulang bagi menyambut hari jadinya pada bulan depan, namun mesej itu tidak sempat dibaca.

“Saya bertanya sama ada dia akan pulang untuk menyambut hari jadi saya bulan depan.

“Saya sempat menghantar satu lagi mesej seminit selepas kejadian itu, tetapi mesej berkenaan tidak sempat dibacanya,” katanya.

Sementara itu, adiknya, Eugene Then Kuling, 12, turut menyimpan kenangan terakhir bersama ibunya ketika menghantarnya ke lapangan terbang pada 3 September lalu.

Menurutnya, Debra hanya sempat melambai kepadanya sebelum berlepas ke Miri.

Anak-anak mendiang SN Debra Moset, Euodia Then Suling (kanan) dan Eugene Then Kuling. FOTO (RAMIDI SUBARI)

BERITA LAIN

BERITA TERBARU