KUCHING: Diharap hasrat Sarawak dan Sabah untuk meminda beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat diluluskan, kata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menurut Ahli Parlimen Petra Jaya itu, perbincangan di peringkat kabinet memang sudah ada seperti yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
“Di peringkat kami khususnya Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak, kita masih mengharapkan bahawa ia dapat dibentangkan untuk bacaan pertama pada esok, (25 Oktober).
“Seterusnya jika boleh dibahaskan dan diluluskan, pindaan yang dihasratkan oleh Sabah dan Sarawak itu nanti akan menggambarkan semangat sebenar penubuhan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat sebuah rumah di No.47, Jalan Cenderawasih Lorong 2A, di Kampung Semerah Padi, di sini, hari ini.
Beliau menegaskan ia penting supaya pindaan Perlembagaan tersebut akan menggambarkan semangat sebenar penubuhan Malaysia.