ARTIKEL

Fadillah ketika sesi dialog santai bersama 50 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) Sarawak dan 20 pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), hari ini. | FOTO: FB FADILLAH YUSOF

Fadillah gesa mahasiswa seimbangkan ilmu, nilai dan teknologi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Mahasiswa perlu mengimbangi penguasaan ilmu dengan nilai murni, amanah dan akhlak bagi memastikan kemajuan teknologi serta pembangunan ekonomi membawa manfaat kepada masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Amar Fadillah Yusof berkata kemajuan tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian akademik dan material semata-mata, sebaliknya perlu disertai pembentukan sahsiah serta kekuatan rohani.

Menurutnya, ilmu yang membina kehidupan perlu bergerak seiring dengan ilmu yang membimbing hati bagi memastikan kejayaan di dunia turut membawa kebaikan dan keberkatan.

“Secanggih mana pun teknologi, manusia tetap bertanggungjawab menentukan arah penggunaannya.

“Ilmu perlu dipandu oleh nilai, amanah dan pertimbangan yang baik agar teknologi benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi dialog santai bersama 50 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) Sarawak dan 20 pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) setelah merasmikan Program Kerohanian Bina Insan MADANI 3.0 (2026) di Masjid Ikhwanul Islam, Taman Sukma, hari ini.

Dalam pada itu, Fadillah menegaskan perpaduan ummah juga perlu diperkukuh menerusi kesabaran dan kebijaksanaan, dan perbezaan fahaman tidak seharusnya menjejaskan tanggungjawab bersama dalam membangunkan masyarakat.

Beliau juga mengajak golongan muda menilai sejauh mana umat Islam mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi negara, selain memastikan kemajuan yang dicapai dapat dinikmati secara lebih menyeluruh.

Dalam sesi itu, beliau turut menekankan kepentingan memperluas capaian internet dan sambungan digital di kawasan luar bandar bagi membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda dalam pendidikan, pekerjaan dan pembangunan diri.

Menurutnya, usaha Kerajaan Sarawak memperluas infrastruktur serta memberi tumpuan kepada pendidikan, termasuk menyediakan pendidikan percuma bagi bidang terpilih, perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk melahirkan tenaga mahir yang diperlukan negeri.

Pada masa sama, beliau berkata lebih ramai tenaga profesional dalam bidang kaunseling dan kesihatan mental diperlukan bagi membantu golongan muda menghadapi cabaran kehidupan.

Fadillah turut mengingatkan mahasiswa supaya sentiasa menjaga hati, memperbetulkan niat dan memperbaiki akhlak dalam setiap tindakan.

Justeru, beliau menegaskan perubahan positif perlu bermula daripada diri sendiri melalui usaha berterusan menambah ilmu, memperbaiki sikap dan melaksanakan tanggungjawab demi kebaikan bersama.

BERITA LAIN

SKS 2026 Sri Aman sasar lebih 100,000 pengunjung

SIMANGGANG: Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Sri Aman membuka tirainya hari ini di Kompleks Sukan Sri Aman dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan dan aktiviti kepada

BERITA TERBARU

SKS 2026 Sri Aman sasar lebih 100,000 pengunjung

SIMANGGANG: Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Sri Aman membuka tirainya hari ini di Kompleks Sukan Sri Aman dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan dan aktiviti kepada