KUCHING: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berharap rundingan antara Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dapat berjalan dengan lancar.
Beliau menegaskan bahawa mana-mana pihak yang tidak terlibat dalam perbincangan tersebut harus mengelak daripada membuat sebarang andaian.
“Apa yang pasti, kita melihat semua ini berdasarkan kepentingan negara, dan pada masa yang sama, kepentingan Sarawak juga perlu diseimbangkan.
“Ini kerana dalam apa jua pembangunan, jika Sarawak mendapat manfaat, kerajaan Persekutuan juga akan turut mendapat manfaat kerana cukai akan dibayar kepada kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyantuni peniaga di Bazar Ramadan Matang Jaya, hari ini.
Menjelas lanjut katanya, hasil rundingan ini tidak akan mengabaikan kepentingan negara, sebaliknya ia merupakan satu jaminan daripada kerajaan negeri Sarawak.
Menurut laporan media sebelum ini, Petronas masih meneruskan perbincangan dengan beberapa pihak berkepentingan berikutan laporan bahawa rundingan mengenai peranan agregator gas dengan Petros berdepan kebuntuan.

