KUCHING: Dewan Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Cawangan Siol Kandis dan padang futsal Siol Kandis akan dinaik taraf bagi memastikan komuniti setempat lebih selesa melaksanakan program dan aktiviti kesukanan.
Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, beliau akan meminta pihak pusat khidmatnya bersama pihak pengurusan berkaitan untuk sama-sama meneliti kos pembinaan dan reka bentuk yang akan diperlukan pada kadar segera.
“Saya minta pihak pengurusan (SDNU Cawangan Siol Kandis) untuk bekerja dengan pegawai-pegawai di pusat khidmat kita untuk duduk berbincang tentang anggaran kos.
“Pertama sekali, pastikan pendawaian sekurang-kurangnya bertaraf tiga fasa supaya naik taraf memasang penghawa dingin di dewan tidak terganggu dengan litar pintas.
“Kedua, mengenai padang futsal berbumbung, jadi datanglah dengan reka bentuk dan anggaran kos. Kita akan membantu untuk memastikan perkara itu dapat dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perdana Kesenian dan Kebudayaan Dayak Peringkat Parlimen Petra Jaya 2025 di Dewan SDNU Siol Kandis pada Sabtu (12 Julai).
Fadillah pada masa sama menegaskan agar segala perincian maklumat dapat dihantar pada kadar segera untuk memastikan gerak kerja dapat dilaksanakan dengan lebih cepat.
“Tahun ini mungkin sudah terlambat. Kita akan cuba tahun hadapan, namun perancangannya perlu dihantar tahun ini supaya kita dapat menentukannya pada tahun hadapan,” katanya.
Sementara itu, beliau menegaskan agar masyarakat mengekalkan toleransi dan sikap perpaduan yang tinggi dalam kalangan kaum pelbagai.
Seiring dengan tema Sarawak Maju Makmur, beliau yakin ia bukanlah sekadar tema, namun sebagai usaha memupuk kebersamaan dalam kehidupan unik di Sarawak untuk kekal pada masa akan datang.
“Kita mempunyai kesenian dan budaya yang pelbagai, dan keunikannya ialah walaupun dengan kepelbagaian, kita masih hidup saling menghormati antara satu sama lain.
“Itulah semangat yang harus dikekalkan dan dikukuhkan untuk diterjemahkan kepada generasi anak-anak pada masa akan datang,” ujarnya.
Terdahulu, majlis turut dihadiri Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Datuk Hilmy Othman.




