KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof selamat menjalani pembedahan pintasan arteri koronari (CABG) di Institut Jantung Negara (IJN) pada 12 Ogos lepas dan kini menunjukkan perkembangan positif.
Pejabat Timbalan Perdana Menteri memaklumkan keluarga Fadillah merakamkan penghargaan kepada pasukan perubatan IJN serta semua pihak yang mendoakan kesembuhan dan memberikan sokongan kepada beliau.
IJN berkata pembedahan pintasan berganda itu dilakukan oleh Pakar Perunding Kanan Bedah Kardiotorasik IJN Prof Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib dan Prof Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub bersama Dr Ahmad Mahir Shamsuddin.
Fadillah dimasukkan ke IJN pada 28 Julai dan menjalani angiogram koronari pada keesokan harinya sebelum pasukan perubatan memutuskan CABG sebagai kaedah rawatan paling sesuai.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN Prof Datuk Seri Dr Mohamed Ezani berkata proses pemulihan Fadillah berjalan mengikut perancangan, termasuk melakukan senaman berbasikal sejauh 2.8 kilometer pada 13 Ogos sebelum dipindahkan dari Unit Rawatan Rapi ke wad biasa pada petang sama seperti dilapor Bernama.

