ARTIKEL

Fadillah (kiri) menerima anugerah Honorary Bencher daripada ICM sempena Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-10 institusi itu, di sini, malam tadi. FOTO Facebook Rasmi Fadillah Yusof

Fadillah terima pengiktirafan Honorary Bencher

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof menyifatkan pengiktirafan Honorary Bencher daripada Inns of Court Malaysia (ICM) sebagai satu amanah untuk terus menyumbang ke arah memperkukuh sistem perundangan, keadilan dan tadbir urus negara.

Beliau berkata, pengiktirafan yang diterimanya sempena Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-10 institusi berprestij itu bukan sekadar satu penghormatan peribadi, malah diterima dengan penuh rasa syukur dan rendah hati.

Wan Junaidi dan Fauziah (duduk tengah) merakam gambar kenangan bersama Fadillah (duduk lima dari kiri) semasa menghadiri Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-10 ICM. FOTO Facebook Rasmi Fadillah Yusof

“Saya berasa amat bersyukur dan rendah hati menerima pengiktirafan sebagai Honorary Bencher daripada ICM.

“Pengiktirafan ini bukan sekadar satu penghormatan peribadi, tetapi satu amanah untuk saya terus menyumbang kepada usaha memperkukuh sistem perundangan, keadilan dan tadbir urus negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya, hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden, Jawatankuasa Eksekutif serta seluruh warga ICM atas kepercayaan dan penghormatan yang diberikan.

Menurutnya, sepanjang sedekad penubuhannya, ICM telah memainkan peranan penting dalam memupuk kecemerlangan profesion guaman, memperkukuh etika profesional, memperluas pendidikan undang-undang serta menjunjung tinggi kedaulatan undang-undang di Malaysia.

“Undang-undang bukan sekadar himpunan akta atau peraturan, tetapi merupakan asas kepada keadilan, kestabilan, kemajuan dan keharmonian sesebuah negara.

“Kepercayaan rakyat terhadap institusi keadilan hanya dapat diperkukuh apabila undang-undang dilaksanakan secara adil, telus dan tanpa rasa takut atau pilih kasih,” ujarnya.

Beliau turut berkongsi pandangan mengenai perubahan landskap dunia perundangan yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), pendigitalan, keselamatan siber dan teknologi baharu.

“AI mampu menjadi pemangkin kepada kecekapan dan akses kepada keadilan, namun kebijaksanaan, integriti dan tanggungjawab moral tetap menjadi amanah yang tidak boleh digantikan oleh teknologi,” jelasnya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Malaysia akan terus maju sebagai sebuah negara yang aman, makmur dan dihormati sekiranya semua pihak terus mempertahankan kebebasan institusi, memperkukuh pendidikan undang-undang, mengangkat profesionalisme serta sentiasa menjunjung kedaulatan undang-undang sebagai asas pentadbiran negara.

“Semoga kita semua terus berganding bahu membina institusi yang lebih kukuh, mempertahankan prinsip keadilan dan meninggalkan legasi yang memberi manfaat kepada generasi akan datang,” tegasnya.

Majlis pada malam tersebut turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU