KUCHING: Kenyataan Ketua Whip Parlimen GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof bahawa Sarawak akan kehilangan autonomi ke atas imigresen dan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) jika PH menguasai Dun Sarawak tidak bersalahan dari segi undang-undang, kata Ketua Penerangan PBB Datuk Idris Buang.

Menurutnya, beliau telah mengkaji kaji video yang tular sejak Ahad lalu dan mendapati kenyataan Fadillah tidak melanggar sebarang peraturan dan undang-undang.

“Oleh itu, laporan polis yang dibuat oleh beberapa ahli PH adalah sia-sia.

“Kenyataan Fadillah adalah tertakluk dalam lingkungan prinsip pembelaan ‘komen yang adil dan munasabah’,” jelasnya dalam satu kenyataan, semalam.

Idris menegaskan, Fadillah hanya menyuarakan ‘hipotesis’ dalam konteks tersebut.

“Itu pun dalam konteks ‘jikalau’ agar perwakilan berfikir mendalam mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Perlu diingat, terdapat banyak hak Sarawak dalam MA63 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC)1963 telah dikaji, sebelum Fadillah menyentuh isu berkenaan,” tambahnya.

Dalam kenyataannya, Idris turut mengingatkan MA63 tidak diberikan pengiktirafan sewajarnya oleh Kerajaan Persekutuan.

“Dalam konteks ini, Fadillah hanya menyuruh perwakilan membayangkan ‘jika’ yang membawa maksud ‘jika PH berkuasa dalam Dun Sarawak’, dan mereka akan mempunyai ‘kuasa’ dan boleh ‘buat’.

“Kuasa itu termasuk ‘menggubal itu dan ini’,” ujarnya lagi.

Oleh itu, kata Idris, terpulang pada perwakilan atau sesiapa yang mempunyai fikiran yang waras, untuk melihat maksud konteks sebenar kenyataan berkenaan.

“Persoalan yang timbul sekarang adakah Sarawak mempunyai hak dalam MA63 seperti yang dilaporkan IGC selagi MA63 tidak diiktiraf dalam Perlembagaan?“Itu persoalan dalam konteks yang diutarakan dan dimaksudkan oleh Fadillah,” tegasnya lagi.

Pada masa yang sama, Idris turut mengingatkan bahawa sebelum ini di Parlimen, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah mempersoal hak autonomi imigresen Sarawak tanpa dibantah dan dicelah semasa perbahasan Usul Rang Undang-undang (RUU) Pindaan Perlembagaan.

Kerana itu katanya, beliau menyifatkan kenyataan Fadillah sebagai adil dan munasabah.

“Hujahan Mukhriz langsung tidak dicelah oleh ahli PH Sarawak, seolah-olah menunjukkan mereka akan menjadi ‘Yes Boss’ jika berkuasa di Sarawak kelak.”

Semalam, antara individu yang membuat laporan polis ialah Pengerusi Proreformis 98 Sarawak, Iswardy Morni.

Suara Sarawak