OLEH SYAZRINA SUZALEE
KUCHING: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) akan bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) untuk melaksanakan tinjauan berkaitan kesejahteraan belia di negeri ini.
Menterinya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata tinjauan ini akan diadakan tahun ini selepas kali terakhir dilaksanakan pada tahun 2018.
Katanya, tinjauan ini penting untuk mengambil kira perubahan yang berlaku kepada belia, terutamanya pasca Covid-19.
“Tinjauan ini bertujuan untuk memahami aspirasi dan tahap kesejahteraan belia. Melalui kajian ini, golongan belia akan ditanya mengenai pandangan mereka terhadap kerajaan dan harapan mereka dalam kawasan yang diselidik,” ujarnya.

Kajian IYRES ini akan melibatkan enam domain: pendidikan, ekonomi, kesejahteraan mental dan fizikal, sosialisasi politik, kenegaraan dan demokrasi, nilai dan identiti, serta media dan kewarganegaraan digital.
Dalam mesyuarat tersebut, turut dibentangkan taklimat mengenai program pembangunan belia oleh Kementerian Belia, Sukan dan Usahawan Sarawak (MYSED), isu jenayah siber oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan isu belia tercicir oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS).
Abdul Karim menambah, kajian ini akan didokumentasikan dan diserahkan kepada kementerian serta Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, untuk mendapatkan maklum balas terhadap aspirasi belia di kawasan tertentu.
“Contoh di Long Semado, kita akan merancang program berdasarkan maklum balas yang diterima. Kesemua ini akan didokumentasikan dalam bentuk buku yang juga akan disampaikan kepada Premier,” ujarnya.
Beliau juga menekankan bahawa definisi keciciran pelajar perlu diperhalusi semula untuk mencerminkan situasi sebenar di Sarawak. Walaupun dengan definisi sedia ada, kadar keciciran belia Sarawak berada pada tahap yang rendah di Malaysia.
“Ia bukan hanya mengenai pelajar tercicir, tetapi juga pelajar yang mungkin telah berpindah ke kolej atau sekolah teknikal lain tanpa dimaklumkan. Ini juga dianggap keciciran,” jelasnya.

