SABAH, merupakan sebuah negeri di Bawah Bayu yang terletak di Kepulauan Borneo dan turut dikenali sebagai kawasan di Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan etnik yang unik.
Negeri ini dihuni oleh pelbagai kelompok etnik yang masing-masing mempunyai warisan tradisi, adat resam, bahasa dan sastera yang mewarisi khazanah bangsa.
Kajian mengenai peribahasa etnik di Sabah penting untuk generasi masa kini memahami dan mempelajari ungkapanungkapan yang digunakan dalam interaksi serta menjadi media pendidikan dan pelestarian budaya.
Istimewanya, buku ini mendokumentasikan pelbagai contoh peribahasa yang berbeza, bermula daripada etnik Dusun Liwan, Dusun Kimaragang, Lundayeh dan seterusnya Rungus. Bab satu dalam buku ini memperkenalkan latar belakang masyarakat etnik Dusun Liwan, misalnya pakaian, adat, perubatan tradisional, tonduk dan jenis peribahasa yang digunakan.
Menariknya, etnik Dusun Liwan menggambarkan kesantunan seseorang dalam menyampaikan mesej melalui budaya penggunaan tonduk yang merupakan simbol larangan seperti larangan daripada mencuri, mengganggu atau merosakkan harta kepunyaan orang lain.
Ada tonduk yang diikat dengan kain dikatakan “keras” kerana tonduk ini biasanya disertai dengan mantera sebagai pelindung kawasan dan bakal mendatangkan musibah kepada sesiapa yang datang mencuri atau mengganggu kawasan tersebut.
Terdapat satu lagi tonduk yang dikenali sebagai bungkong.
Kesan orang yang terkena bungkong ini apabila mereka tidak akan ingat jalan pulang atau jalan keluar dari kawasan tersebut sehinggalah pemiliknya datang melihat dan mengetahui orang yang mengganggu kawasan tersebut.
Istilah peribahasa masyarakat Dusun Liwan ini pula dikenali sebagai istilah tukadan atau poinukadan yang menunjukkan cara penyampaian nasihat yang halus dan makna berlapis.
Sama seperti peribahasa Melayu, poinukadan dibahagikan kepada beberapa jenis seperti bidalan, pepatah, perbilangan dan perumpamaan yang disebut sebagai poiradan, poigalan atau poi’yaan serta kata-kata hikmah yang dikenali sebagai diwato.
Selain itu, penulis turut menerangkan Rangka Rujuk Silang (RRS) dalam Teori Relevan yang digunakan untuk menganalisis makna poinukadan agar pembaca dapat memahami setiap makna tersirat berdasarkan fungsi peribahasa tersebut.
Hal ini turut memberikan impak yang besar dalam melatih adab seseorang serta pentingnya untuk generasi muda memelihara warisan tersebut.
Sementara itu, bab kedua pula menerangkan tentang etnik Dusun Kimaragang yang dikelompokkan dalam rumpun Kadazandusun dan dikatakan mendiami dua daerah, iaitu daerah Pitas dan Kota Marudu namun memiliki ciri masyarakat yang berbeza disebabkan faktor seperti sosioekonomi dan budaya.
Tambahan pula, etnik Dusun Kimaragang pernah dikenali sebagai Momogun yang terhasil melalui peristiwa kemarau yang berlaku suatu ketika dahulu.
Jikalau Dusun Liwan menyebut peribahasa sebagai poinukadan, etnik Kimaragang pula menyebutnya sebagai siriban yang mempunyai bentuk yang hampir sama dengan peribahasa Melayu.
Menariknya, etnik ini sangat menekankan maruah diri terutamanya golongan perempuan dalam pergaulan.
Contohnya, siriban olandou yang biasanya digunakan pada haiwan yang suka menghilangkan diri sehingga sukar dicari oleh tuannya.
Tetapi dalam konteks manusia pula digunakan untuk menegur generasi muda supaya tidak berkelakuan seperti haiwan tersebut.
Mereka perlu sentiasa menjaga dan meletakkan maruah diri di tempat tertinggi.
Seterusnya, masyarakat Dusun Kimaragang turut menggunakan objek sebagai perlambangan bagi sesuatu sifat tertentu seperti kuali yang menggambarkan bahawa mereka akan berasa malu kepada masyarakat di sekeliling sekiranya melawan norma masyarakat.
Penulis turut mengaplikasikan pendekatan Semantik Inkuisitif dalam Teori Semantik menerusi kajian ini.
Di samping itu, buku ini turut menganalisis peribahasa dalam etnik Lundayeh yang berasal dari kawasan dataran tanah tinggi Borneo yang bersempadan antara Kalimantan Utara, Sabah dan Sarawak serta dikenali sebagai Jantung Borneo atau Heart of Borneo dalam bab yang ketiga.
Masyarakat Lundayeh mempunyai identiti atau nama yang berlainan mengikut kawasan mereka menetap atau berhijrah.
Di Kalimantan Utara, etnik ini dikenali sebagai Dayak Lundayeh manakala di Sabah pula dikenali sebagai Lundayeh. Namun, di Sarawak, etnik ini memilih identiti mereka sebagai Lun Bawang untuk mengelakkan daripada tergolong dalam kumpulan etnik Murut di Sabah.
Masyarakat ini tidak mempunyai istilah bagi peribahasa dan terbahagi kepada enam jenis, iaitu bidalan, pepatah, perumpamaan, ungkapan, ibarat dan semboyan.
Analisis peribahasa etnik Lundayeh menggunakan Teori Eufemisme yang bererti penggunaan kata-kata kasar tertentu digantikan agar konsep tersebut tidak difahami dan tidak menyinggung perasaan pendengar atau pembaca.
Salah satu peribahasa yang menarik dalam masyarakat ini dikaitkan dengan aktiviti menumbuk padi.
Misalnya aktiviti menumbuk di atas pokok durian (tufeh rawih udung datu’) bukanlah satu perbuatan tetapi merujuk sifat seseorang yang kurang cerdas. Akhir sekali, bab keempat pula berkaitan masyarakat etnik Rungus yang merupakan suku kaum asli dalam rumpun bangsa Kadazandusun. Masyarakat etnik Rungus ini dikatakan kaya dengan khazanah tradisi lisan yang bercorak cerita dan bukan cerita. Maka, peribahasa etnik Rungus ini dikaji berdasarkan pendekatan yang melibatkan keindahan.
Istilah peribahasa mereka disebut sebagai suribhan dan sambatan yang melibatkan lafaz dua perkataan atau bentuk yang lebih panjang dalam pengucapan suatu ayat dan boleh terhasil dalam bentuk bhahul.
Perbezaan antara suribhan dengan sambatan adalah berfokuskan konsep penggunaannya.
Konsep suribhan ini lebih kepada perumpamaan yang menggunakan kata perbandingan, manakala konsep sambatan pula dituturkan mengikut keadaan atau peristiwa yang berlaku.
Secara keseluruhannya, buku Analisis Peribahasa Etnik di Sabah ini merupakan sebuah karya yang bernilai bagi masyarakat yang ingin mempelajari dan memahami budaya tradisional terutamanya etnik yang terdapat di Sabah.
Buku ini juga dapat dijadikan sebagai rujukan kepada mengkaji atau mengajar nilai-nilai moral melalui bahasa dan peribahasa etnik yang dikaji.



