MIRI: Program Forum Sarawak Lestari anjuran Pustaka Negeri Sarawak, Miri bakal membuka ruang dialog berkenaan pembangunan inklusif, dengan fokus memastikan tiada golongan yang dipinggirkan daripada arus kemajuan.
Pustakawan Pustaka Negeri Sarawak, Miri, Dorithy Dela Lawrence berkata forum ini memberi peluang kepada masyarakat untuk lebih memahami cabaran dan keperluan golongan autistik dalam konteks pembangunan negeri.
“Melalui forum ini, adalah menjadi harapan kita agar masyarakat akan menjadi lebih terbuka, peka, dan menyokong usaha untuk tidak meminggirkan sesiapa, sejajar dengan prinsip ‘Tiada Siapa yang Ketinggalan’ dalam pembangunan Sarawak yang lestari dan inklusif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Forum bertemakan Pertumbuhan Inklusif: Tiada Siapa Ketinggalan itu dijadual berlangsung pada Rabu, 16 April 2025 di Auditorium Pustaka Negeri Sarawak, Miri dari jam 2:00 petang hingga 5:00 petang.
Selaras dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Sarawak, forum berkenaan memberi tumpuan kepada kepentingan hak sama rata bagi individu autistik serta peranan masyarakat dalam memastikan golongan ini tidak tersisih daripada pembangunan sosial dan ekonomi.
Dua ahli panel yang aktif dalam bidang advokasi hak individu autistik turut dijemput untuk berkongsi pandangan dan pengalaman masing-masing.
Antaranya ialah Pengarah Hawary Sport Center, Hamlatul Hawary Azizan yang juga ahli Malaysia Swimming Teacher Association (MTSA), serta Clinical Psychologist (Visiting) dari Pusat Perubatan Columbia Asia, Dr. Diana Wee Yuen Suan.
Orang ramai yang berminat boleh mendaftar melalui pautan bit.ly/ForumSarawakLestari atau mengimbas kod QR yang tertera pada poster hebahan.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan kepada Pustaka Negeri Sarawak, Miri di talian 085-422 525 atau melalui platform media sosial rasmi mereka.

