ARTIKEL

Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar berucap pada Taklimat Eksekutif SADIP.

Fahami tanggungjawab, hala tuju ekonomi dan kepentingan rakyat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Bakal pengarah syarikat milik kerajaan (SOE) Sarawak perlu memahami tanggungjawab mereka bukan sekadar sebagai anggota lembaga pengarah, sebaliknya sebagai pihak yang turut menentukan hala tuju ekonomi dan kepentingan rakyat negeri ini.

Setiausaha Kewangan Negeri, Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar berkata, keputusan yang dibuat dalam bilik lembaga pengarah memberi kesan lebih besar daripada sekadar catatan di atas kertas kerana ia membabitkan kehidupan rakyat, keyakinan awam, transformasi ekonomi serta keyakinan pelabur.

Katanya, peranan ini menjadi semakin penting ketika Sarawak melaksanakan Program Transformasi SOE bagi membuka nilai syarikat milik kerajaan serta memperkukuh kemahiran, kompetensi dan pengetahuan barisan pengarah.

“Peranan SOE sangat penting dalam menentukan hala tuju Sarawak untuk bergerak ke arah ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Peranan pertama seorang pengarah adalah membantu dan memimpin transformasi itu,” katanya ketika berucap pada Taklimat Eksekutif Sarawak Aspiring Directors Immersion Programme (SADIP) di SCOPE Training School, Bangunan Yayasan Sarawak, hari ini.

Menurutnya, transformasi bukan sekadar slogan, sebaliknya proses berdisiplin yang memerlukan perubahan cara organisasi berfikir, bertindak, melabur, melaksanakan strategi dan mengukur kejayaan.

Beliau berkata, SOE Sarawak perlu menyelaraskan strategi dengan aspirasi pembangunan jangka panjang negeri, selain mempunyai model komersial yang jelas, tadbir urus kukuh, kepimpinan berkeupayaan serta prestasi yang boleh diukur.

“Pengarah perlu memahami gambaran makro dan realiti operasi, termasuk hala tuju dasar negeri, mandat syarikat, landskap industri, risiko kewangan serta kekangan bakat.

“Lembaga yang hanya memahami penyata kewangan tetapi tidak memahami persekitaran strategik akan menjadi terlalu sempit, manakala lembaga yang hanya melihat visi tanpa memahami pelaksanaan pula terlalu abstrak. Pengarah berkesan perlu menghubungkan kedua-duanya,” katanya.

Wan Lizozman berkata, lembaga pengarah SOE perlu mengimbangi tiga perkara utama iaitu prestasi komersial, akauntabiliti awam dan dasar ekonomi negeri tanpa mengutamakan mana-mana satu secara berlebihan.

“Pemegang saham terakhir bagi setiap SOE ialah rakyat Sarawak. Kita sebenarnya mewakili rakyat Sarawak, bukan sekadar syarikat itu sendiri,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bakal pengarah supaya tidak menjadi sekadar ‘rubber stamp’ kepada keputusan pengurusan, sebaliknya berani mengemukakan soalan susulan, mencabar andaian dan mendapatkan maklumat tambahan sebelum sesuatu keputusan dibuat.

Katanya, pengarah juga perlu bersedia mendapatkan nasihat pakar sekiranya perkara yang dibincangkan berada di luar kepakaran lembaga, selain memastikan setiap keputusan dibuat berdasarkan fakta, analisis yang wajar dan perbahasan yang telus.

Beliau turut menegaskan kepentingan mengisytiharkan konflik kepentingan dan menarik diri daripada perbincangan serta pengundian jika mempunyai kepentingan peribadi, keluarga atau perniagaan berkaitan sesuatu perkara.

Wan Lizozman turut mengingatkan mengenai beberapa kes kegagalan tadbir urus seperti Enron, Transmile Group dan 1MDB sebagai pengajaran bahawa tahap kepakaran tinggi dalam kalangan pengarah tidak menjamin sesebuah organisasi terhindar daripada kegagalan sekiranya lembaga gagal mencabar pengurusan dan mengemukakan soalan sukar.

Katanya, hubungan antara lembaga pengarah dengan pengurusan juga perlu dibina secara produktif.

“Lembaga mentadbir, pengurusan mengurus. Lembaga menetapkan hala tuju, meluluskan strategi, memantau prestasi dan memastikan pengurusan bertanggungjawab.

“Lembaga terbaik tidak melakukan pengurusan mikro, tetapi mereka juga tidak boleh menjadi terlalu jauh dan tidak mengambil tahu. Hubungan yang perlu diwujudkan ialah hubungan yang saling menghormati tetapi tetap mencabar pengurusan,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak turut mengharapkan pengarah yang dilantik kelak mempunyai kesetiaan kepada syarikat dan organisasi, bukan kepada individu, kumpulan atau pihak yang melantik mereka.

Selain itu, mereka perlu mengekalkan integriti seiring prestasi, mempunyai pemikiran bebas, melindungi kepentingan negeri untuk jangka panjang serta memastikan pelaporan kepada Kerajaan Sarawak melalui Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri dilaksanakan secara penuh, tepat pada masanya dan tepat.

“Keputusan lembaga berkaitan peruntukan modal, kerjasama dan hala tuju strategik perlu mempunyai kaitan yang jelas dengan PCDS 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-13.

“Saya berharap menerusi program ini, semua peserta terus melabur dalam pembelajaran berterusan, memahami peranan sebagai pengarah atau bakal pengarah, menguasai literasi kewangan, memahami ESG serta membina pengetahuan sebenar dalam sektor masing-masing,” katanya.

Beliau turut menggesa bakal pengarah membina keberanian untuk menyampaikan pandangan secara jujur dan profesional, mengurus masa dengan baik, menyumbang di luar bilik lembaga serta mendapatkan maklum balas secara terbuka dengan prestasi masing-masing bagi memastikan mereka mampu menjadi pengarah yang benar-benar memberi nilai kepada SOE dan Sarawak.

BERITA LAIN

Politik Semenanjung tidak jejas GPS – Abdul Karim

KUCHING: Pergolakan politik di Semenanjung Malaysia dijangka tidak menjejaskan landskap politik Sarawak menjelang Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13), dengan perpaduan rakyat dan agenda pembangunan

BERITA TERBARU

Politik Semenanjung tidak jejas GPS – Abdul Karim

KUCHING: Pergolakan politik di Semenanjung Malaysia dijangka tidak menjejaskan landskap politik Sarawak menjelang Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13), dengan perpaduan rakyat dan agenda pembangunan