KUCHING: Pengguna aplikasi kecerdasan buatan (AI) perlu menyemak ketepatan kandungan yang dihasilkan teknologi itu sebelum menggunakannya atau menyebarkannya, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau berkata aplikasi AI berkemungkinan menghasilkan maklumat yang tidak betul dalam pelbagai bentuk termasuk teks, video dan grafik, justeru pengguna perlu menggunakannya secara bijak serta sentiasa merujuk kepada undang-undang sedia ada.
“Sekiranya sesuatu yang dihasilkan oleh kecerdasan buatan (AI) melanggar undang-undang, maka elakkan daripada kita menyebar kandungan tersebut,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan pameran sambutan perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Atrium Utama, Plaza Merdeka, di sini, hari ini.
Mengambil contoh penggunaan AI sempena sambutan Hari Malaysia, Fahmi berkata pengguna, khususnya pengamal media, perlu memastikan grafik yang dijana tidak mengandungi kesilapan pada Jalur Gemilang.
Beliau berkata perkara itu termasuk memastikan bintang pada Jalur Gemilang mempunyai 14 bucu, 14 jalur serta warna yang tepat.
“Jadi, manfaatkan maklumat yang telah disediakan dalam pameran ini untuk mengetahui warna yang sebenar, jumlah yang sebenar, dan itu harus menjadi panduan; gunakan AI tetapi masih berlandaskan undang-undang yang sedia ada,” tambahnya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata isu berkaitan penggunaan AI kini turut diberi perhatian di peringkat global, dengan syarikat teknologi yang membangunkan aplikasi berkenaan memperhalusi kerangka kawal selia bagi menangani risiko yang mungkin timbul.
Beliau berkata perbincangan itu bukan sahaja berkaitan keupayaan AI menghasilkan kandungan yang tidak tepat atau tidak sepatutnya, tetapi turut meliputi risiko teknologi berkenaan menjadi ancaman kepada manusia.
Antara syarikat yang terlibat dalam perbincangan itu, katanya, termasuk Anthropic, OpenAI dan Grok.
Sementara itu, ditanya mengenai pemantauan kementerian terhadap kandungan yang dihasilkan menggunakan AI, Fahmi berkata tindakan lazimnya boleh diambil berdasarkan aduan yang dikemukakan kepada pihak berkuasa.
Beliau berkata aduan boleh dibawa kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atau pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan selanjutnya.
Pada masa sama, katanya, kementerian mengambil pendekatan lebih proaktif dengan mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika menggunakan aplikasi AI.
“Saya bagi contoh, kalau kita menggunakan AI, belum tentu AI itu boleh menjana jawapan yang benar; kadangkala itu yang disebut halusinasi.
“Sentiasa semak fakta dan kandungan yang dihasilkan AI; jangan menggunakannya secara membuta tuli,” tegasnya.
Hadir sama, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol.




