ARTIKEL

TERIMA KASIH... Fahmi menerima cenderahati daripada Presiden KDJA Ronnie Teo Teck Wei sambil ditemani rakan media Kuching yang lain.

Fahmi santai bersama pengamal media Kuching sambil menikmati laksa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sesi berbual selama lebih sejam setengah dalam suasana santai, diselang-seli gurauan dan cerita dunia kewartawanan, cukup menggambarkan kemesraan Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil bersama pengamal media di bandar raya ini.

Tidak seperti sesi rasmi yang lazimnya berlangsung dalam suasana protokol dan penuh susunan acara, pertemuan Fahmi bersama pengamal media Kuching petang ini berlangsung dalam suasana lebih bersahaja di sebuah kedai makan di Icom Square.

MESRA… Fahmi yang ditemani Presiden KDJA Ronnie Teo Teck Wei dan rakan media Kuching yang lain berbual mesra sambil menikmati hidangan laksa Sarawak.

Fahmi yang hadir pada kira-kira pukul 4 petang tidak kelihatan kekok bergaul dengan pengamal media yang hadir, malah meluangkan masa berbual dan bertukar pandangan mengenai pelbagai perkara berkaitan dunia media serta perkembangan semasa.

Suasana semakin mencair apabila perbualan berlangsung sambil menikmati hidangan di kedai berkenaan, menjadikan pertemuan itu lebih berupa sesi mengeratkan hubungan antara menteri dan pengamal media.

Tiada pentas, tiada mikrofon dan tiada susunan kerusi yang memisahkan kedua-dua pihak, sebaliknya mereka duduk dan berbual dalam suasana santai seolah-olah pertemuan antara rakan yang sudah lama mengenali satu sama lain.

Pertemuan yang dianjurkan bersama ahli Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) itu turut menghimpunkan kira-kira 30 pengamal media daripada pelbagai organisasi di Kuching.

Antara yang hadir termasuk wakil media cetak, portal berita dan agensi media tempatan yang mengambil kesempatan bertemu secara dekat dengan Fahmi dalam suasana tidak formal.

Lebih menarik, sesi berkenaan berlangsung lebih 90 minit, menunjukkan pertemuan santai itu bukan sekadar singgah untuk bertemu mata, sebaliknya menjadi ruang untuk berbicara dan membina jaringan yang lebih rapat.

Sebelum itu, Fahmi menghadiri majlis perasmian Pameran Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Atrium Utama, Plaza Merdeka, di sini.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 pula dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), dengan Kuching menjadi tumpuan sambutan peringkat kebangsaan tahun ini.

Bagi pengamal media yang hadir, sesi petang itu mungkin kelihatan sederhana pada zahirnya, namun pertemuan dalam suasana santai seperti itu membuka ruang lebih luas untuk bertukar cerita, memahami cabaran masing-masing dan mengukuhkan hubungan antara pembuat dasar dengan mereka yang saban hari membawa suara masyarakat kepada khalayak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU