KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil merakamkan ucapan tahniah kepada jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang, atas kejayaan merangkul pingat emas acara keirin lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, awal pagi tadi.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Fahmi menyifatkan atlet yang mendapat jolokan The Pocket Rocketman itu sebagai kebanggaan seluruh rakyat Malaysia atas pencapaian cemerlang yang terus dilakar di pentas antarabangsa.
Beliau turut memuji semangat juang Azizulhasni yang disifatkan tidak pernah mengenal erti menyerah walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang kariernya.
Terdahulu, pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu meraih pingat emas acara keirin lelaki di Velodrom Sir Chris Hoy, Glasgow selepas menewaskan pelumba Australia, Leigh Hoffman, yang memenangi pingat perak, manakala wakil England, Harry Ledingham-Horn, meraih gangsa.
Seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, menamatkan saingan di tempat ketujuh seperti dilapor Bernama.






