KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengucapkan tahniah kepada penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin yang diiktiraf Biduanita Negara susulan penganugerahan sebagai Biduan Negara 2024 pada Anugerah Seni Negara (ASN) yang berlangsung semalam.
Menerusi hantaran di platform X hari ini, Fahmi berkata Kementerian Komunikasi berbangga dengan pencapaian penyanyi itu yang cemerlang dan bergemerlapan dalam bidang seni suara.
“Tahniah Biduanita Siti Nurhaliza! Semoga dengan pengiktirafan ini, beliau akan terus mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.
Siti Nurhaliza, 45, mula menceburi industri seni pada 1995 menjadi wanita ketiga diberi penghormatan tersebut.
Sepanjang penglibatannya, beliau memenangi lebih 300 anugerah dari dalam dan luar negara antaranya 42 anugerah pada Anugerah Industri Muzik, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (25 anugerah), Anugerah Planet Muzik 28, MTV Asia Award 4, selain pengiktirafan Malaysia Book Of Records 2.
Penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu juga merakamkan lebih 200 lagu menerusi 20 album, mengadakan lebih 60 konsert dalam dan luar negara serta disenaraikan sebagai 500 Muslim Berpengaruh Dunia 10 tahun berturut-turut selain pernah mengadakan konsert solo di Royal Albert Hall London pada 2005. – Bernama



