KUCHING: Fakulti Undang-Undang Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang baharu ditubuhkan bakal menerima seramai 30 pelajar kohort pertama pada September ini, sekali gus memperkukuh landskap pendidikan perundangan negeri ini.
Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr Ahmad Hata Rasit memaklumkan, pengambilan pelajar tersebut adalah memberi keutamaan kepada anak-anak Sarawak, namun peluang turut dibuka kepada calon dari luar negeri.
Menurutnya, penubuhan fakulti tersebut dirangka dengan mengambil kira keperluan unik negeri, termasuk aspek perundangan berkait rapat dengan identiti serta pembangunan Sarawak.
“Ia bertujuan memperkukuh bidang perundangan di negeri ini, khususnya melibatkan aspek undang-undang adat, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta isu berkaitan pembangunan ekonomi Sarawak termasuk sempadan negeri dan antarabangsa.
“Ada tiga teras utama akan dibangunkan iaitu penyelidikan berkaitan undang-undang adat, penubuhan pusat kajian adat dan sejarah, serta penerokaan bidang perundangan teknologi antarabangsa termasuk sistem penangkapan karbon,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, hari ini.
Tambahnya, penubuhan fakulti berkenaan adalah bagi memenuhi keperluan semasa dengan objektif yang selari dengan agenda pembangunan negeri.

“Dalam masa sama, fakulti tersebut akan meneroka bidang perundangan baharu termasuk undang-undang berkaitan teknologi seperti sistem pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), selaras dengan hala tuju pembangunan ekonomi hijau negeri.
“Sebagai langkah memperkukuh agenda penyelidikan, UNIMAS turut merancang penubuhan pusat kecemerlangan bagi undang-undang adat serta pusat kajian adat dan sejarah,” jelasnya.
Ujarnya, inisiatif strategik itu mendapat sokongan penuh Abang Johari yang turut menyatakan hasrat untuk menaja pelajar fakulti berkenaan khususnya anak Sarawak, dalam usaha melahirkan lebih ramai pakar perundangan tempatan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan negeri turut meningkatkan komitmen terhadap pendidikan perubatan di UNIMAS dengan meneruskan penajaan kepada anak Sarawak yang memenuhi syarat untuk mengikuti pengajian dalam bidang tersebut.
“Langkah ini dijangka memperluas akses pendidikan tinggi serta meningkatkan bilangan doktor dan pakar tempatan dalam jangka panjang.
“Secara keseluruhan, usaha ini mencerminkan pendekatan strategik UNIMAS dan Kerajaan Sarawak membangunkan modal insan berkemahiran tinggi dan berdaya saing,” katanya lagi.
Dalam majlis yang sama, Abang Johari turut menerima watikah pelantikan semula sebagai Pro-Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bagi tempoh 15 Mac 2026 hingga 14 Mac 2029, semalam.
Sekali gus menandakan kali keempat beliau dilantik menggalas peranan tersebut, sejak pertama kali dilantik pada tahun 2017.
Pelantikan tersebut diperkenankan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar selaku Canselor UNIMAS.
Peranan tersebut antara lain merangkumi usaha memperkukuh hubungan antara universiti dengan kerajaan negeri serta industri, selain menjadi pemangkin kepada pembangunan pendidikan tinggi selaras dengan keperluan pembangunan Sarawak.

