KUALA LUMPUR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil langkah proaktif untuk menangani isu kekurangan bekalan kelapa di pasaran dengan meningkatkan pembelian kelapa tua dari Indonesia, bagi memastikan bekalan mencukupi untuk kegunaan domestik, terutama menjelang musim perayaan.
Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkipli, dalam kenyataannya memaklumkan bahawa pihaknya melalui anak syarikat FAMACO, telah meningkatkan pembelian kelapa tua dari Indonesia kepada 320 metrik tan sebulan mulai Disember, berbanding 180 metrik tan sebelum ini.
Langkah ini diambil susulan penurunan bekalan kelapa tempatan sehingga 50 peratus di beberapa pasar utama, termasuk Lembah Klang, akibat faktor cuaca tidak menentu yang telah menjejaskan pengeluaran di ladang tempatan dan negara pengeksport.
“Kemasukan bekalan import secara konsisten sejak awal Disember telah membantu menstabilkan harga kelapa di pasaran. Berdasarkan pemantauan FAMA, langkah ini telah mula mengimbangi permintaan bekalan kelapa di pasaran,” katanya.
Namun, proses keseimbangan pasaran antara bekalan dan permintaan ini dijangka mengambil masa, berikutan permintaan yang tinggi ekoran musim perayaan. Situasi ini dijangka semakin pulih dan memberi kesan positif kepada pengguna menjelang Januari 2025.
Aminuddin juga menyatakan harga purata kelapa tua kini berada dalam lingkungan RM2.20 hingga RM2.93 sebiji di Semenanjung, dan keadaan ini dijangka semakin pulih menjelang Januari.
Menurut FAMA, agensi itu juga sedang memperhebat kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk pengimport, pemborong, dan peruncit untuk memastikan rantaian bekalan kelapa terus lancar, termasuk memudahkan proses logistik import kelapa tua dari Indonesia.
“Pemantauan berterusan dilakukan di seluruh negara untuk mengenal pasti kawasan yang mengalami kekurangan bekalan, serta kerjasama dengan MAQIS (Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia) bagi mencegah aktiviti penyeludupan di pintu sempadan negara,” katanya.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kelmarin menyuarakan kebimbangan terhadap kenaikan mendadak harga kelapa di pasaran daripada RM2 kepada RM2.50 sebiji, malah ada yang mencecah RM3.30 sebiji untuk kelapa bersaiz besar.– BERNAMA



