ARTIKEL

Tubi Mbos khazanah kulinari Bidayuh

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

TUBI mbos merupakan warisan kulinari masyarakat Bidayuh Biatah di Kampung Pain Bojong yang lahir daripada kearifan tempatan sebagai bekalan makanan mesra alam untuk penduduk ke ladang.

Keunikan penyediaannya yang menggunakan senduk kayu sukir dan bantuan daun manah, iaitu daun nyirik, bukan sahaja mengekalkan kesegaran nasi, malah menggabungkan amalan harian dengan fungsi sosial serta ritual tradisi.

Walaupun berdepan dengan cabaran modenisasi, kepupusan bahan pembungkus dan hakisan kemahiran dalam kalangan generasi muda, hidangan ini tetap mempunyai potensi besar untuk diketengahkan sebagai produk pelancongan kulinari ikonik.

SUARA SARAWAK: Sejauh manakah sejarah tubi mbos dapat dikesan melalui memori lisan nenek moyang di Kampung Pain Bojong?

Sejarah tubi mbos dapat dikesan melalui memori lisan masyarakat Bidayuh Biatah sebagai bentuk penyesuaian kehidupan harian dengan alam sekitar serta penyelesaian terhadap kekangan bekas penyimpanan makanan pada zaman dahulu.

Nenek moyang mereka menjadikan tubi mbos sebagai bekalan makanan mesra alam ketika keluar bekerja di ladang atau masuk ke hutan dari pagi hingga petang.

Bungkusan tradisional ini berupaya mengekalkan kesegaran dan kualiti nasi untuk tempoh yang lama tanpa mudah basi.

Apakah jenis beras yang digunakan khusus untuk menyediakan tubi mbos?

Bahan utama yang digunakan untuk menyediakan tubi mbos ialah beras kampung tempatan. Beras ini ditanak dengan sukatan air yang lebih banyak daripada biasa supaya nasi menjadi kembang, lembut dan mudah dipadatkan semasa proses pembungkusan.

Walaupun beras kampung menjadi pilihan utama kerana keaslian rasa dan teksturnya, beras biasa seperti beras yang dijual di pasaran, beras merah atau jenis beras lain juga boleh digunakan sebagai alternatif.

SUARA SARAWAK: Apakah jenis daun yang digunakan untuk membungkus tubi mbos dan mengapakah daun tersebut dipilih?

Daun nyirik atau daun lirik, yang dikenali sebagai daun manah dalam bahasa Bidayuh Biatah, digunakan untuk membungkus nasi ini. Daun tersebut dipilih kerana saiznya yang lebih besar, tahan lasak dan fleksibel serta tidak mudah koyak berbanding dengan daun pisang yang perlu dilayurkan terlebih dahulu.

Adakah terdapat pantang larang atau kepercayaan tradisional semasa penyediaannya?

Tiada pantang larang khusus ketika menyediakan tubi mbos sebagai makanan harian. Bagaimanapun, terdapat kepercayaan traditional berkaitan dengan penggunaan permukaan daun. Bahagian bawah daun, iaitu permukaan belakangnya, digunakan khusus untuk membungkus makanan bagi manusia yang masih hidup, manakala bahagian atas daun, iaitu permukaan hadapannya, dikhaskan untuk persembahan ritual atau sajian kepada roh dan semangat, seperti dalam persembahan piring atau upacara Begawai.

Apakah elemen utama yang membezakan tubi mbos daripada nasi yang dimasak di dalam buluh atau nasi yang dibungkus dengan daun di kawasan lain?

Keunikan tubi mbos terletak pada kaedah penyediaannya. Nasi ditanak terlebih dahulu di dalam periuk, kemudian dipadatkan menggunakan senduk kayu sukir ketika masih panas sebelum dibungkus. Kaedah ini berbeza dengan penyediaan hidangan lain yang lazimnya dimasak terus di dalam daun atau batang buluh.

Selain kaedah penyediaannya, tubi mbos yang sejak dikenali sebagai tubi mbau dan mempunyai tekstur mampat yang menyerupai nasi impit. Teksturnya yang mampat membolehkannya bertahan sehingga dua hari tanpa menjejaskan kualiti atau rasanya.

Adakah tubi mbos dihidangkan semasa upacara tertentu seperti majlis perkahwinan atau ritual traditional masyarakat Bidayuh?

Tubi mbos lazimnya dihidangkan semasa perayaan Hari Gawai, majlis perkahwinan dan majlis keramaian di kampung, termasuk di balai raya. Kehadirannya melambangkan kesyukuran dan menjadi antara hidangan yang mengerahkan sesuatu kerana.

Dalam upacara traditional seperti Begawai atau persembahan piring, tubi mbos turut dihidangkan bersama-sama pisang, iau kekasam dan daging salai. Bagaimanapun, nasi ini dibungkus menggunakan permukaan atas daun nyirik sebagai penanda khusus bagi hidangan yang dipersembahkan kepada roh atau semangat, selaras dengan adat dan amalan nenek moyang.

Apakah peranan tubi mbos dalam perkongsian komuniti dan pengukuhan ikatan sosial di kampung ini?

Tubi mbos berperanan sebagai hidangan penghormatan yang lazimnya disajikan kepada tetamu kehormat dan tetamu yang berkunjung ke rumah. Hidangan ini juga dijadikan buah tangan, sekali gus memperlihatkan kedudukannya dalam budaya harian masyarakat setempat.

Bagaimanakah generasi muda di Kampung Pain Bojong memandang tubi mbos?

Secara umumnya, generasi muda di kampung ini menganggap penyediaan tubi mbos sebagai amalan yang kurang penting dan remeh. Keadaan ini dikaitkan dengan perubahan gaya hidup moden serta kebergantungan pada peralatan memasak elektrik dan bekas penyimpanan plastik.

Akibatnya, kebanyakan golongan muda tidak lagi mahir membungkus nasi ini dengan kemas kerana kurang mendapat pendedahan dan latihan.

Adakah tubi mbos berpotensi dijadikan produk pelancongan kulinari untuk memperkenalkan identiti masyarakat Bidayuh Biatah?

Ya. Tubi mbos merupakan hidangan istimewa yang menjadi antara identiti kulinari masyarakat Bidayuh Biatah. Keunikannya dari segi bahan yang digunakan, keaslian rasa dan kaedah pembungkusan mesra alam menjadikannya berpotensi sebagai tarikan pelancongan kulinari.

Usaha mengetengahkan tubi mbos kepada pelancong bukan sahaja berpotensi memberikan manfaat ekonomi dan kebudayaan, malah dapat memperkukuh identiti masyarakat Bidayuh.

Apakah cabaran utama dalam mengekalkan tradisi penyediaan tubi mbos pada era moden ini?

Kesukaran mendapatkan pokok nyirik di kawasan tertentu akibat kemusnahan hutan primer dan perubahan guna tanah kepada kawasan perladangan. Keadaan ini menyebabkan bahan pembungkus utama tubi mbos semakin sukar diperoleh.

Selain itu, kemahiran menyediakan hidangan ini semakin terhakih kerana proses memadatkan dan membungkus nasi memerlukan masa yang agak lama. Persaingan dengan penggunaan bekas penyimpanan makanan moden yang lebih praktikal turut menyebabkan generasi muda kurang berjinak untuk mempelajari dan mewarisi tradisi ini.

BERITA LAIN

Lapan pasukan buru separuh akhir

SAINGAN peringkat suku akhir Liga Lundu 2026 bakal berlangsung pada 24 dan 25 Oktober ini. Perlawanan itu menyaksikan pertembungan lapan pasukan terbaik daripada empat kumpulan

BERITA TERBARU