SAINGAN peringkat suku akhir Liga Lundu 2026 bakal berlangsung pada 24 dan 25 Oktober ini.
Perlawanan itu menyaksikan pertembungan lapan pasukan terbaik daripada empat kumpulan berbeza, sekali gus menentukan pasukan yang layak melangkah ke peringkat separuh akhir bagi memburu kejuaraan edisi kali ini.
Pasukan terbabit ialah Kasuka FC dan Belia Sileng daripada Kumpulan A, Sempadi FC dan Rambungan FC (Kumpulan B).
Empat lagi pasukan ialah Fadzio FT dan Seabird FT daripada Kumpulan C, serta Bajo Mix FC dan Horris FC daripada Kumpulan D.
Empat perlawanan suku akhir itu dijadualkan berlangsung di Kompleks Sukan Lundu.
Dua perlawanan akan berlangsung pada 24 Oktober, manakala dua lagi perlawanan dijadualkan pada 25 Oktober.
Aksi sengit dijangka membabitkan kesemua lapan pasukan yang berentap pada peringkat suku akhir nanti.
Hal ini demikian kerana setiap pasukan menyasarkan kemenangan bagi melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, persaingan sengit dijangka berlaku pada peringkat suku akhir itu.
Menurut Azizul, misi meraih kemenangan menjadi fokus utama setiap pasukan yang bertanding.
“Kita percaya saingan sengit akan berlaku pada peringkat suku akhir nanti.
“Fokus lapan pasukan terbabit hanya satu, iaitu memastikan kemenangan untuk melayakkan diri ke separuh akhir,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau percaya kesemua pasukan terbabit memperkemas jentera masing-masing bagi menghadapi saingan sebenar pada peringkat suku akhir nanti.
“Tempoh masa yang ada pasti akan digunakan oleh kesemua pasukan untuk memperkemas jentera masing-masing,” katanya.
Menurut Azizul, agak sukar untuk meramalkan pasukan yang berpeluang cerah memenangi perlawanan pada peringkat itu.
Katanya, saingan suku akhir agak berbeza kerana menggunakan format kalah mati.
“Oleh yang demikian, peluang semua pasukan adalah seimbang kerana perlawanan menggunakan format kalah mati,” jelas beliau.
Liga Lundu 2026 menghimpunkan 16 pasukan, dengan lapan pasukan dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar dan lapan lagi dari DUN Tanjong Datu.
Hadiah wang tunai berjumlah RM9,700 disediakan bagi edisi kali ini.
Pasukan yang muncul juara akan menerima wang tunai RM5,000 berserta piala pusingan, piala iringan dan pingat.
Naib juara pula akan menerima wang tunai RM3,000 berserta piala dan pingat, manakala pasukan di tempat ketiga bakal membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta piala dan pingat.
Pasukan yang menduduki tempat keempat pula akan menerima wang tunai RM700 berserta piala.
Selain itu, piala turut disediakan untuk kategori pemain harapan, pemain terbaik perlawanan akhir, penjaring terbanyak dan pasukan terbaik.
Antara objektif penganjuran Liga Lundu 2026 adalah untuk memberi peluang kepada pemain yang terlibat mengetengahkan bakat masing-masing.
Kejohanan itu juga dilihat bertepatan dengan usaha memperkasakan pembangunan sukan bola sepak, khususnya di kawasan DUN Opar dan DUN Tanjong Datu.
“Yang penting, melalui kejohanan ini, kita dapat mengenal pasti pemain baharu yang berbakat untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi,” kata Azizul.
Beliau turut percaya kejohanan itu secara tidak langsung dapat menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara semua pihak.
“Pada dasarnya, aktiviti sukan mampu memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya.



