Farmasi di Kuching dikompaun RM10 ribu, jual topeng N95 mahal dari harga asal

KUCHING: Sebuah farmasi di sini dikompaun RM10,000.00 kerana menjual topeng muka jenis N95 melebihi harga kawalan RM6.00 seunit seperti yang telah ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKHEP) semalam.

Menurut Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri KPDNKHEP Sarawak, Mohd Hanizam Kechek pihaknya telah bertindak berdasarkan aduan orang awam terhadap farmasi berkenaan.

“Serbuan telah kita jalankan semalam pada jam 3.50 petang ke farmasi tersebut dan mendapati harga dijual melebihi dari harga asal.

“Kes telah disiasat dibawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 iaitu menjual atau menawarkan untuk menjual barangan harga terkawal selain harga mengikut harga maksimum runcit yang ditentukan,” katanya.

Beliau menegaskan pihaknya akan mengambil tindakan tegas sekiranya peniaga mengambil kesempatan dengan menaikkan harga topeng muka secara tidak munasabah dalam situasi orang ramai memerlukannya sebagai langkah keselamatan dan pencegahan dari wabak Covid-19 di negara ini.

“Sebarang pelanggaran di bawah peruntukan Akta ini bagi kesemua jenis topeng muka yang dinyatakan tersebut mereka boleh dikenakan tindakan undang- undang dengan denda oleh mahkamah sehingga RM100,000.00 atau dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.00 bagi kes individu.

“Bagi syarikat mereka boleh didenda sehingga RM500,000.00 atau dikompaun sehingga RM250,000.00,” ujarnya.

Tambahnya jika didapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan dengan penguatkuasaan topeng muka sebagai barang kawalan dan barang harga terkawal, pengguna boleh menyalurkan aduan kepada pihak KPNKHEP melalui talian 1800 886 800, media sosial dan pelbagai medium lain.

Suara Sarawak