FAS mahu lahirkan lebih ramai pengadil bertauliah

BELADIN: Bahagian Kepengadilan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) mempunyai perancangan untuk memperbanyakan kursus di peringkat bahagian bagi melahirkan lebih ramai pengadil bertauliah.

Penolong Pengerusi Pengadil Sarawak Marsid Dahalan menganggap itu cabaran terhadap FAS.

“Di Sarawak, kita mempunyai 11 pengadil peringkat kebangsaan, sementara di peringkat negeri terdapat 240 orang di semua bahagian.

“Jadi, FAS memberi tumpuan di peringkat bahagian dan berhasrat menambah bilangan kursus… Betong sudah dan bahagian lain akan dilaksanakan juga selepas ini,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak selepas Majlis Penangguhan Kursus Pengadil Bola Sepak Kelas Tiga Peringkat Negeri 2019 di Dewan al-Amin, semalam.

Beliau yang dipertanggungjawabkan untuk melatih 21 peserta dari kawasan Betong, Pusa, Beladin, Bungin, Saratok dan Debak pada kursus tersebut bersama Kapten (B) Mohd Marzuki Hamsin menyifatkan potensi mereka cukup baik.

“Sepanjang kursus selama tiga hari, perkembangan peserta menunjukan peningkatan, baik pembelajaran teori dalam kelas mahupun sesi praktikal di padang.

“Semua menunjukkan komitmen yang tinggi.

“Mereka boleh diberi pendedahan selepas ini untuk mengendalikan perlawanan bola sepak di peringkat sekolah mahupun bahagian,” ujarnya.

Sementara itu penghulu kursus Mohamad Shafizan Kepli menyifatkan kursus pengadil yang dilaksanakan di Beladin sebagai usaha menyediakan pengadil yang bertauliah khususnya dari kawasan Beting Maro dan Bahagian Betong amnya.

“Kalau sebelum ini kita perlu mendapatkan khidmat luar sekiranya ingin menganjurkan pertandingan, itu menimbulkan masalah… sebab ada pengadil tapi tidak bertauliah.

“Alhamdulillah ini satu lagi pencapaian kita di sini dan mengharapkan semoga segala ilmu dan kemahiran yang dicurahkan oleh tenaga pengajar boleh dimanfaatkan pada masa akan datang,” jelasnya.

Kursus Pengadil Bola Sepak Kelas Tiga Peringkat Negeri 2019 julung kalinya diadakan di sini merupakan anjuran Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) Cawangan Beting Maro dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dan Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA).

Hadir merasmikan majlis Penghulu Kampung Beladin Mahbang Labek mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor dan Setiausaha Kehormat BDFA Saiful Hanizam Suhaini.

Suara Sarawak