ARTIKEL

Fasa Kedua Boulevard Samarahan Dijangka Bermula Tahun Depan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Fasa pertama projek Boulevard Samarahan berjalan lancar, manakala fasa kedua dijangka bermula tahun hadapan. Projek itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, boulevard itu bakal menjadi yang terbesar di Sarawak sedang dibangunkan secara berfasa. Ia berpotensi menjadi lokasi ideal untuk menganjurkan program berskala besar pada masa akan datang.

“Ia mempunyai ruang parkir, laluan pejalan kaki, kawasan persembahan, hiburan dan pelbagai kemudahan lain semuanya dalam satu kawasan yang luas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Festival Makanan dan Budaya Samarahan 2025 (SFCF2025) di Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), di sini hari ini.

Sementara itu, Abdul Karim berkata, terdapat perancangan untuk memasukkan SFCF dalam Kalendar Pelancongan Sarawak tahun depan.

“Langkah ini diambil kerana SFCF mempunyai keunikan tersendiri yang mampu menarik lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negeri sekali gus merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi setempat,” jelasnya.

Beliau berkata, kementerian bersama penganjur komited untuk memperkukuh penganjuran festival itu supaya dapat diteruskan dalam jangka panjang dan berkembang menjadi acara lebih besar pada tahun-tahun mendatang.

“Kami akan meneliti pemberian peruntukan lebih besar tahun depan bagi menyokong perkembangan festival ini agar ia kekal lestari dan terus dianjurkan,” ujarnya.

Mengulas lanjut katanya, festival itu berpotensi mencapai skala seperti Pesta Makanan Kuching anjuran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) yang berlangsung selama sebulan pada setiap Ogos.

“Samarahan mempunyai populasi yang semakin berkembang dan tempoh festival yang lebih panjang akan memberi lebih banyak peluang kepada penduduk untuk menikmati makanan, aktiviti dan persembahan kebudayaan.

“Tahun ini festival berlangsung selama 10 hari meningkat daripada format sebelum ini yang berlangsung hanya seminggu dan dijangka menjadi platform penting dalam mempromosikan Samarahan sebagai destinasi pelancongan,” tambahnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU