ARTIKEL

Fatimah dan Lee Kim Shin pada Majlis Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Sarawak 2026 di Miri hari ini.

Fatimah mohon AirBorneo jadi rakan strategik Kenyalang Gold Card

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperluas manfaat Kenyalang Gold Card (KGC) dengan menjadikan syarikat penerbangan AirBorneo sebagai rakan strategik supaya pemegangnya dapat menikmati diskaun tambang domestik dan antarabangsa.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Sri Fatimah Abdullah berkata, cadangan itu merupakan usaha menambah keistimewaan yang dinikmati golongan berusia 60 tahun ke atas.

Menurutnya, kerjasama berkenaan diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada warga emas menikmati kemudahan pengangkutan udara pada kadar yang berpatutan, sekali gus memperkukuh jaringan rakan strategik KGC.

“Sempena Sambutan Hari Warga Emas Tahun 2026 ini, saya mewakili semua pemegang KGC memohon daripada Menteri Pengangkutan Datuk Sri Lee Kim Shin agar manfaat kad ini diperluaskan kepada jaringan pengangkutan udara, iaitu AirBorneo sebagai rakan strategik.

“Semoga jalinan kerjasama yang bakal terbina dapat membuka ruang kepada pelbagai inisiatif yang bermanfaat serta membawa kejayaan bersama pada masa hadapan,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Sarawak 2026 di Miri, hari ini.

Pada 21 Januari lalu, Lee memaklumkan AirBorneo menyediakan diskaun tambang sebanyak 50 peratus kepada penumpang berusia 60 tahun ke atas, namun proses mendapatkan kemudahan itu perlu dilakukan secara manual atau melalui pusat panggilan.

Beliau turut menjelaskan bahawa AirBorneo sedang menambah baik sistemnya supaya urusan mendapatkan diskaun warga emas dan daftar masuk penerbangan dapat dilaksanakan secara dalam talian pada masa hadapan.

Fatimah berkata, KGC yang kini mempunyai 410,847 pemegang merupakan antara inisiatif perlindungan sosial Kerajaan Sarawak yang membolehkan pemegang kad menikmati diskaun dan rebat bagi pelbagai perkhidmatan daripada rakan strategik yang mengambil bahagian, selain Bantuan Ihsan Kematian kepada waris yang layak.

“Kerajaan turut memperkenalkan Manfaat Kesihatan Warga Emas (SCHB) bagi membantu golongan yang memenuhi syarat mendapatkan perkhidmatan kesihatan tertentu, khususnya mereka yang memerlukan pemeriksaan dan rawatan berkala.

“Perhatian juga perlu diberikan kepada pengukuhan sistem penjagaan berasaskan keluarga dan komuniti.

“Ini termasuk latihan asas penjagaan, sokongan psikososial serta penerokaan perkhidmatan penjagaan sementara bagi mengurangkan beban ahli keluarga yang menjaga warga emas uzur,” jelasnya.

Dalam aspek kesejahteraan sosial, beliau berkata, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan PPWE terus memainkan peranan sebagai pusat komuniti yang menyediakan aktiviti riadah, pembelajaran sepanjang hayat, kesukarelawanan dan pembangunan kemahiran.

“Prinsip kita adalah untuk memastikan warga emas tidak dibiarkan bersendirian menghadapi cabaran penuaan, dan keluarga yang menjaga mereka juga tidak dibiarkan menanggung tanggungjawab tersebut tanpa sokongan,” ujarnya.

Bertemakan “Warga Emas Disayangi, Negara Harmoni”, sambutan berkenaan bertepatan dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk membina masyarakat yang inklusif, penyayang dan harmoni.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU