ARTIKEL

Nancy menyempurnakan Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara 2026 peringkat negeri Sarawak di Padang Merdeka, di sini, hari ini. | Foto: Ramidi Subari

Risiko kanser payudara meningkat kepada satu dalam 23

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seramai 90,075 wanita di Sarawak menjalani saringan menerusi Program Subsidi Ujian Mammogram, manakala 88 kes positif kanser dikesan sehingga 30 September 2026.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, angka itu menunjukkan kepentingan memperluas akses saringan awal bagi membolehkan wanita mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lebih awal.

Beliau berkata, kerajaan meneruskan komitmen terhadap program berkenaan menerusi peruntukan RM9 juta bagi 2027, meningkat daripada RM8 juta tahun ini, dengan sasaran 38,000 wanita di seluruh negara menerima manfaat.

“Gunakan peluang yang ada untuk menjalani pemeriksaan ini. Kita sudah bekerjasama dengan klinik dan hospital supaya wanita boleh mendapatkan perkhidmatan saringan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara 2026 peringkat negeri Sarawak di Padang Merdeka, di sini, hari ini.

Nancy berkata, program subsidi ujian mammogram yang diperkenalkan sejak 2007 itu antara usaha kerajaan untuk memperluas akses wanita kepada saringan kanser payudara, khususnya golongan yang memerlukan bantuan kewangan.

Jelasnya, Sarawak mempunyai sembilan pusat mammogram berdaftar, termasuk di Pusat Pakar Perubatan Normah, Borneo Medical Centre, Timberland Medical Centre, Rajang Medical Centre, KPJ Sibu Specialist Hospital, Kemena Pacific Hospital, KPJ Miri Specialist Hospital, Borneo Medical Centre Miri dan KPJ Kuching Specialist Hospital.

Justeru, beliau menggesa wanita supaya tidak berputus asa mendapatkan pemeriksaan sekiranya pusat yang dikunjungi sudah mencapai kapasiti saringan.

“Jangan apabila pergi ke satu hospital, mereka kata kuota sudah habis, kemudian kita terus putus asa. Kita boleh cuba di tempat lain,” ujarnya.

Nancy berkata, kesedaran terhadap pemeriksaan awal masih perlu dipertingkatkan kerana Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan 71 peratus wanita berusia 40 tahun ke atas tidak pernah menjalani mammogram, manakala 46 peratus tidak mengamalkan pemeriksaan kendiri payudara.

Beliau berkata, kanser payudara kekal sebagai ancaman utama kesihatan wanita di Malaysia, dengan risiko seorang wanita menghidap penyakit itu meningkat kepada satu dalam 23 berbanding sebelum ini satu dalam 27 berdasarkan laporan daftar kanser yang dirujuknya.

“Jangan biarkan rasa takut atau malu menghalang kita daripada mengambil tindakan yang boleh menyelamatkan nyawa,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan menambah baik perkhidmatan kesihatan wanita di luar bandar menerusi sebuah bas baharu untuk pusat keluarga bergerak yang dijangka tiba bulan depan.

“Wanita yang ingin mendapatkan saringan turut boleh mengunjungi Klinik Nur Sejahtera LPPKN di Kuching, Sibu dan Miri untuk mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan serta kelayakan program subsidi berkenaan,” ujarnya.

Nancy berkata, pengesanan awal dan sokongan keluarga penting dalam membantu wanita mendapatkan rawatan serta meningkatkan peluang pemulihan.

“Kesihatan ibu adalah kesejahteraan keluarga. Jaga diri supaya kita dapat menjaga orang lain,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU