KUCHING: Datuk Fazzrudin Abdul Rahman menyatakan kesediaan beliau untuk memimpin Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) sekiranya diberikan kepercayaan dan mandat oleh barisan kepimpinan serta ahli-ahli persatuan.
Menurut beliau, bola sepak bukan sekadar sebuah sukan, tetapi merupakan wadah penting untuk menyatupadukan masyarakat, membentuk semangat kebersamaan serta membina jati diri dan disiplin dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda.
“Bola sepak sememangnya menjadi minat dan kecintaan saya sejak sekian lama. Sekiranya diberikan peluang untuk memimpin Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), saya berhasrat untuk meneliti semula peranan dan hala tuju sebenar persatuan ini.
“FAS tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pembentukan sebuah pasukan semata-mata, tetapi perlu berperanan sebagai pemangkin pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi agar sukan ini benar-benar dapat dirasai dan dinikmati oleh seluruh lapisan rakyat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis pra-pembukaan Pusat Konvensyen MetroCity (MCC), Matang, hari ini.
Tambahnya, struktur dan hala tuju baharu perlu diberi perhatian sekiranya FAS ingin memainkan peranan yang lebih besar dalam membangunkan ekosistem bola sepak negeri, khususnya dari peringkat akar umbi.
Beliau turut menekankan keperluan membentuk pasukan kerja yang komited dan berdaya tahan untuk melaksanakan visi pembaharuan dalam FAS.
“Saya ada beberapa idea, tetapi saya tidak boleh laksanakannya seorang diri. Saya perlukan pasukan yang kuat dan bersemangat, barulah visi dan misi ini dapat direalisasikan,” katanya.
Beliau turut mengakui bahawa Sarawak memiliki banyak bakat terpendam yang belum digilap sepenuhnya akibat kekurangan program pembangunan dan jaringan latihan berstruktur di peringkat awal.
Fazzrudin, yang juga merupakan Pengerusi Kuching City FC, menegaskan bahawa beliau tidak mengejar jawatan, sebaliknya bersedia berkhidmat jika kepercayaan itu diberikan demi kemajuan bola sepak negeri.
“Kalau diberi amanah, saya akan pikul tanggungjawab ini dengan penuh komitmen. Bola sepak Sarawak berpotensi besar untuk kembali disegani, tapi ia perlukan hala tuju yang jelas dan tindakan yang tersusun,” katanya.
Pemerhati sukan melihat kesediaan Fazzrudin itu sebagai satu isyarat positif terhadap usaha penyusunan semula FAS yang lebih inklusif, moden dan berfokus kepada pembangunan menyeluruh – sejajar dengan aspirasi rakyat Sarawak untuk melihat bola sepak negeri kembali gah di pentas kebangsaan.

