KUCHING: Datuk Fazzrudin Abdul Rahman menyerahkan kepada kepimpinan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk menentukan pencalonannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13, sambil menegaskan kepentingan memperkukuh organisasi parti di peringkat akar umbi.
Timbalan Setiausaha Agung PBB merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong itu berkata, jentera parti di kawasan N6 Tupong akan memberikan komitmen penuh dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
Menurutnya, perkara itu antara yang ditekankan dalam Mesyuarat Khas PBB Cawangan N6 Tupong yang membincangkan persiapan organisasi, penyelarasan gerak kerja dan tanggungjawab ahli mendekati masyarakat.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan di Facebook selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di sebuah hotel di sini, hari ini.
Fazzrudin yang juga Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak berkata, sebagai parti tunjang Gabungan Parti Sarawak (GPS), PBB bertanggungjawab memastikan kestabilan politik, kesinambungan pembangunan dan kepentingan rakyat terus menjadi keutamaan.
“Kekuatan PBB bukan hanya terletak pada kepimpinan di peringkat tertinggi, tetapi pada komitmen dan semangat perjuangan ahli-ahli di peringkat akar umbi.
“Setiap ahli mesti memainkan peranan, turun padang, mendengar suara rakyat dan terus berkhidmat. Tidak cukup sekadar bercakap tentang perjuangan, kita mesti membuktikannya melalui tindakan,” katanya.
Beliau berkata, PRN akan datang bukan sekadar menentukan kemenangan, malah memberi peluang kepada rakyat menilai pencapaian kerajaan negeri, dasar pembangunan dan hala tuju Sarawak pada masa hadapan.
“Orang Sarawak bijak menilai. Mereka melihat bukan sekadar apa yang kita katakan, tetapi apa yang sudah kita lakukan dan mampu laksanakan untuk masa depan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan ahli PBB supaya terus berkhidmat kepada masyarakat dan tidak hanya memberikan perhatian menjelang pilihan raya. Beliau turut menyeru kepimpinan serta ahli PBB Cawangan N6 Tupong memperkukuh perpaduan, memantapkan organisasi dan melaksanakan amanah demi masa depan Sarawak yang lebih maju, makmur dan berdaya saing.



